PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak seharusnya syok sendiri dengan mendakwa era budaya sakau sudah berakhir di bawah pentadbirannya.
Ketua Setiausaha Sekretariat Orang Melayu, Datuk Wira Marzuki Yahya berkata, kenyataan sedemikian seolah cuba menggambarkan kerajaan yang dipimpinnya sejak lebih tiga tahun lalu itu telah berjaya menghapuskan amalan rasuah dan penyelewengan, sedangkan pelbagai isu masih dipersoalkan rakyat.
“Anwar jangan syok sendiri dan mendabik dada kononnya budaya sakau sudah berakhir. Hakikatnya, rakyat masih melihat pelbagai isu yang menimbulkan persoalan terhadap komitmen kerajaan dalam membanteras rasuah secara menyeluruh.
“Anwar juga dilihat lupa terhadap dakwaan berkaitan kewujudan ‘mafia korporat’ yang pernah menjadi perhatian umum, selain tindakan bekerjasama dengan individu yang sebelum ini dikaitkan dengan salah laku dan akhirnya mendapat pengampunan,” katanya dalam satu kenyataan.
Marzuki berkata, integriti seseorang pemimpin tidak boleh diukur hanya melalui slogan atau kenyataan politik, sebaliknya perlu dibuktikan menerusi tindakan yang konsisten serta bebas daripada amalan pilih kasih.
Katanya, usaha membanteras rasuah akan lebih diyakini rakyat sekiranya prinsip keadilan dilaksanakan secara sama rata tanpa mengira kedudukan, pengaruh atau kepentingan politik mana-mana pihak.
Beliau turut mengingatkan, rakyat mampu menilai sendiri sama ada janji untuk menamatkan budaya rasuah benar-benar telah diterjemahkan dalam pentadbiran kerajaan atau sekadar menjadi retorik politik.
“Sekiranya kerajaan benar-benar mahu menoktahkan budaya sakau, ia mesti memastikan tiada layanan berbeza terhadap mana-mana individu, termasuk mereka yang mempunyai hubungan rapat dengan pihak berkuasa atau kepimpinan politik,” katanya.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L