Antara Selesa dan Relevan: Pilihan Pengajar TVET Hari Ini

Oleh: Ir. Ts. Dr. Kamaruzaman Md. Ali

Pengajar TVET merupakan nadi utama dalam pembangunan tenaga mahir negara. Di tangan merekalah terbentuk generasi pekerja berkemahiran yang menggerakkan industri, memenuhi keperluan ekonomi dan menentukan keupayaan Malaysia bersaing.

Namun, persoalan yang wajar direnung ialah adakah semua pengajar TVET hari ini benar-benar memimpin perubahan, atau masih ada yang selesa mengajar seolah-olah dunia industri tidak pernah berubah?

Kita tidak boleh lagi bersembunyi di sebalik alasan ini cara lama yang sudah terbukti. Cara lama mungkin pernah berjasa, tetapi belum tentu cukup untuk membina masa depan. Industri hari ini bergerak dengan automasi, kecerdasan buatan, teknologi hijau, data raya, sistem pintar dan kemahiran baharu.

Jika pengajar masih bergantung kepada nota lama, contoh lama, mesin lama, pendekatan lama dan minda lama, jangan terkejut apabila graduan keluar dengan sijil, tetapi masih tercari cari tempat dalam industri.

(R)EVOLUSI TVET yang diperkenalkan oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) membawa maksud gabungan antara revolusi dan evolusi dalam ekosistem TVET negara.

Revolusi menuntut lonjakan pantas, keberanian membuat perubahan besar dan kesediaan meninggalkan pendekatan lama yang tidak lagi relevan. Evolusi pula memastikan perubahan tersebut berlaku secara tersusun, berterusan dan mampan.

Inilah semangat yang diterjemahkan melalui Pelan Strategik (R)EVOLUSI JPK 2026–2030 dengan slogan mengupayakan kompetensi dan memacu pertumbuhan negara. Pengajar perlu mendahului zaman, membaca arah industri dan menterjemahkannya kepada latihan masa hadapan.

Dalam konteks ini, Dasar TVET Negara 2030 menjadi kompas penting yang menuntut TVET bergerak secara terselaras, berkualiti, responsif kepada industri, mampan dan diyakini sebagai laluan kerjaya utama.

Pada masa yang sama, RMK13 turut meletakkan pembangunan bakat, produktiviti dan sektor bernilai tinggi sebagai agenda besar negara. Maka, dasar tidak boleh dilihat sebagai dokumen peringkat atasan semata-mata.

Dasar mesti turun ke lantai bengkel, masuk ke dalam rancangan mengajar, mempengaruhi tugasan pelajar dan membentuk penilaian kompetensi sebenar.

Lebih luas daripada itu, agenda pendigitalan, kecerdasan buatan, ekonomi hijau, peralihan tenaga, Revolusi Perindustrian Keempat serta pengenalan bidang pertumbuhan tinggi bernilai tinggi atau high growth high value (HGHV) menuntut TVET bergerak lebih pantas.

Sektor seperti semikonduktor, kenderaan elektrik, tenaga boleh baharu, hidrogen, aeroangkasa, keselamatan siber, automasi dan pembuatan termaju tidak menunggu pengajar yang lambat berubah.

Jika TVET mahu terus relevan, pengajar perlu membaca isyarat dasar negara dan menterjemahkannya kepada kemahiran industri. Pengajar TVET tidak boleh hanya bertanya, apa yang perlu saya ajar?

Soalan yang lebih penting ialah, apa yang industri perlukan, dan sejauh mana pengajaran saya masih relevan dengan keperluan tersebut? Untuk memahaminya, pengajar perlu sentiasa dekat dengan industri melalui kerjasama aktif, lawatan industri, latihan sangkutan, perkongsian kepakaran, projek bersama majikan dan libat urus berterusan.

Hubungan dengan industri tidak boleh hidup hanya ketika majlis rasmi. Ia mesti menjadi jambatan sebenar untuk memahami teknologi terkini, budaya kerja, standard kompetensi dan jangkaan majikan.

Pada masa yang sama, pengajar perlu sentiasa meningkatkan pengetahuan, banyak membaca, berani menulis, terlibat dalam kajian serta menghasilkan projek inovasi dan kreativiti.

Pengajar yang membaca lebih peka kepada perubahan. Pengajar yang menulis lebih kritis menyusun idea. Pengajar yang membuat kajian lebih memahami masalah sebenar.

Pengajar yang berinovasi pula mencari jalan baharu memperbaiki latihan. Pelajar hari ini lebih pantas mengakses teknologi berbanding sesetengah pengajar mengemas kini bahan pengajaran.

Maka, pengajar yang tidak mahu belajar semula akan hilang wibawa. Dalam TVET, autoriti bukan datang daripada jawatan, tetapi daripada keupayaan kekal relevan.

Cabaran sebenar ialah sikap pelaksana yang enggan berubah. Dalam ekosistem JPK, tanggungjawab ini bukan kecil. Sehingga kini, seramai 29,685 personel berdaftar dengan JPK, termasuk pengajar, menjadi tulang belakang kepada pelaksanaan latihan, pentauliahan, penilaian dan pensijilan kemahiran di lapangan.

Angka ini bukan sekadar statistik, tetapi menggambarkan kekuatan besar yang boleh menggerakkan perubahan sekiranya setiap personel benar-benar memahami peranan masing-masing dalam menjayakan agenda TVET negara.

Akhirnya, masa depan TVET tidak akan ditentukan oleh indahnya dasar di atas kertas, tetapi oleh keberanian pengajar melaksanakannya di lapangan.

Pengajar TVET perlu memilih untuk mahu menjadi penjaga rutin lama atau pemimpin perubahan baharu. Jika TVET mahu dihormati sebagai pilihan utama, pengajarnya mesti terlebih dahulu berfikir, bertindak dan berubah sebagai penggerak utama negara.

Ir. Ts. Dr. Kamaruzaman bin Hj. Md. Ali Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Kemahiran Kementerian Sumber Manusia

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *