Ajaran Sesat di Era Digital: Memperkukuh Akidah Melalui Integrasi Naqli, Aqli dan Literasi Digital

Oleh Dr. Suhailiza Md. Hamdani

Mutakhir ini, masyarakat dikejutkan dengan pendedahan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) mengenai 10 kumpulan ajaran sesat berada dalam radar dan pemantauan pihak berkuasa agama dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Antaranya, Asmaul Husna (2022), Ibu Yati (2022), Makrifat (2024), GISBH (2024), Si Hulk (2025), Risalah Bab Kesucian (2025) dan Kumpulan Perjalanan Mimpi Yang Terakhir (2026).

Fatwa berkaitan kumpulan tersebut telah diwartakan dan tindakan penguatkuasaan sedang dijalankan bagi mengekang penyebaran fahaman yang bercanggah dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Walaupun pihak berkuasa menjelaskan bahawa kebanyakan kumpulan yang dikesan masih berskala kecil, hakikatnya kemunculan kumpulan-kumpulan ini membuktikan bahawa ancaman terhadap akidah umat Islam masih wujud dan sentiasa berubah mengikut peredaran zaman.

Jika suatu ketika dahulu ajaran sesat berkembang melalui pertemuan tertutup dan jaringan tertentu, namun hari ini penyebarannya berlaku melalui media sosial, aplikasi komunikasi, platform digital dan rangkaian maya yang lebih sukar dipantau.

Fenomena ini menimbulkan persoalan mengapa masih terdapat individu yang mudah terpengaruh dengan ajaran yang telah difatwakan menyeleweng.

Walaupun ajaran sesat bukanlah perkara baharu dalam sejarah Islam, kumpulan-kumpulan ini kini lebih mudah menyesuaikan pendekatan mereka dengan realiti masyarakat moden.

Kebanyakannya berkongsi ciri yang sama seperti mendakwa menerima ilham khas, menjadikan mimpi sebagai sumber hukum, mentafsir al-Quran mengikut kehendak sendiri, mengangkat pemimpin secara melampau atau mendakwa mencapai tahap makrifat yang menggugurkan syariat.

Jabatan Mufti Selangor turut mengenal pasti 31 ciri penyelewengan akidah termasuk dakwaan menerima wahyu, mengaku sebagai nabi atau Imam Mahdi serta memperkenalkan amalan yang bercanggah dengan ajaran Islam.

Ramai beranggapan bahawa hanya individu yang kurang pendidikan akan terpengaruh dengan ajaran sesat. Hakikatnya, pihak berkuasa agama mendapati terdapat golongan profesional dan berpendidikan tinggi turut terlibat dalam kumpulan tersebut.

Antara faktor yang dikenal pasti termasuk kelemahan penguasaan ilmu akidah yang sahih. Sebahagian masyarakat memperoleh ilmu agama secara tidak tersusun melalui media sosial atau sumber yang tidak mempunyai autoriti keilmuan yang jelas.

Akibatnya, mereka mudah menerima sesuatu dakwaan tanpa menilai kesahihan sumber dan metodologi yang digunakan.

Selain faktor ilmu, unsur psikologi dan emosi turut memainkan peranan yang besar. Dapatan Jabatan Mufti Selangor menunjukkan faktor cinta dan ketaksuban terhadap ketua kumpulan merupakan antara sebab utama seseorang terjebak dalam ajaran sesat.

Ada yang sanggup mempertahankan fahaman yang menyeleweng demi hubungan dengan pasangan, manakala sebahagian yang lain terlalu taksub kepada pemimpin sehingga meletakkan kata-katanya lebih tinggi daripada panduan al-Quran dan al-Sunnah.

Terdapat juga individu yang tertarik dengan janji-janji tertentu seperti jaminan keselamatan akhirat, kelebihan spiritual, penyelesaian segera terhadap masalah hidup atau dakwaan memperoleh “laluan pantas” menuju syurga.

Dalam keadaan masyarakat berdepan tekanan hidup, krisis identiti dan kekosongan spiritual, tawaran sebegini mudah mempengaruhi mereka yang sedang mencari makna dan ketenangan hidup.

Punca ajaran sesat

Pada asasnya, kemunculan ajaran sesat sering berpunca daripada kegagalan memahami hubungan antara wahyu (naqli) dan akal (aqli) secara seimbang. Sebahagian kumpulan menggunakan ayat al-Quran dan hadith secara terpilih tanpa merujuk kepada disiplin ilmu tafsir, hadis dan akidah yang muktabar.

Pada masa yang sama, terdapat kelompok yang terlalu mengagungkan akal, ilham, mimpi dan pengalaman peribadi sehingga meletakkannya lebih tinggi daripada al-Quran dan al-Sunnah.

Dalam tradisi Ahli Sunnah wal Jamaah, akal dan wahyu bukanlah dua perkara yang bertentangan. Akal berfungsi memahami dan menghayati wahyu, manakala wahyu menjadi panduan yang membimbing akal ke arah kebenaran. Keseimbangan inilah yang menjadi asas kepada tradisi keilmuan Islam sejak zaman para ulama muktabar.

Pemikiran Imam al-Ghazali masih relevan dalam menangani isu penyelewengan akidah. Beliau menegaskan bahawa akidah bukan sekadar pengetahuan, tetapi asas pembentukan jiwa dan akhlak. Akidah yang sahih melahirkan akhlak mulia, manakala kerosakan akidah membawa kepada kerosakan moral dan spiritual.

Menurut beliau, akidah hendaklah berasaskan wahyu dan ilmu yang benar, dengan mengharmonikan peranan akal dan penyucian jiwa.

Pendekatan ini penting kerana sebahagian ajaran sesat muncul akibat ketaksuban kepada pengalaman spiritual atau pengagungan akal sehingga mengabaikan panduan wahyu.

Literasi digital

Jika dahulu benteng akidah dibina melalui pendidikan agama secara bersemuka, hari ini benteng tersebut perlu diperluaskan kepada aspek literasi digital.

Kajian oleh Ach. Barocky Zaimina dan Fatimatus Zahrah (2024) mengenai literasi digital dalam pendidikan akidah menegaskan bahawa literasi digital bukan sekadar kemahiran menggunakan teknologi, tetapi juga keupayaan menilai maklumat secara kritis, beretika dan berlandaskan nilai Islam. Kajian tersebut mendapati bahawa literasi digital yang berkesan perlu mengintegrasikan dimensi kognitif, teknikal, etika dan spiritual.

 Dalam konteks penularan ajaran sesat, masyarakat bukan sahaja perlu celik teknologi, tetapi juga mampu menilai kesahihan maklumat agama, mengenal pasti manipulasi dan menolak kandungan yang mengandungi unsur penyelewengan akidah.

Dalam era algoritma dan kecerdasan buatan, ancaman terhadap akidah tidak lagi datang melalui buku atau ceramah semata-mata. Ia hadir melalui video pendek, siaran langsung, kumpulan sembang dan kandungan digital yang kelihatan meyakinkan tetapi sebenarnya menyimpang daripada ajaran Islam yang sebenar.

Dalam menghadapi cabaran ini, pendekatan penguatkuasaan semata-mata tidak mencukupi. Penguatkuasaan undang-undang dan pewartaan fatwa perlu diteruskan, namun usaha pendidikan dan dakwah mesti menjadi agenda utama.

Pengukuhan pengajian akidah

Institusi pendidikan perlu memperkukuh pengajian akidah yang berasaskan Ahli Sunnah Wal Jamaah, manakala institusi dakwah perlu memperluaskan kandungan digital yang sahih, mudah difahami dan relevan dengan realiti semasa.

Program literasi digital Islami juga perlu diperkenalkan secara lebih meluas agar masyarakat mampu menilai maklumat agama secara kritis dan bertanggungjawab.

Keluarga turut memainkan peranan yang amat penting. Pendidikan akidah yang bermula dari rumah akan membentuk asas keimanan yang kukuh serta menjadi benteng pertama dalam menghadapi pengaruh fahaman yang menyeleweng.

Sesungguhnya, cabaran ajaran sesat pada masa kini bukan sekadar isu keagamaan, tetapi cabaran terhadap pemikiran, identiti dan ketahanan ummah. Oleh itu, usaha memperkukuh pendidikan akidah, mengintegrasikan ilmu naqli dan aqli, memperkasa literasi digital Islami serta menghidupkan kembali tradisi ilmu yang diwariskan oleh para ulama perlu menjadi agenda bersama.

Firman Allah SWT:

“Katakanlah: Adakah sama orang yang mengetahui dengan orang yang tidak mengetahui?” (Surah al-Zumar, 39:9)

Hanya dengan ilmu yang sahih, kefahaman yang benar dan kesedaran yang tinggi, umat Islam mampu mempertahankan kesucian akidah serta menangkis sebarang bentuk penyelewengan yang mengancam kesejahteraan agama, masyarakat dan negara.

Dr. Suhailiza Md. Hamdani ialah Pensyarah Kanan, Program Dakwah dan Penguruan Islam, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia, Nilai, Negeri Sembilan.

Telegram: Nasional Daily

Facebook: Nasional Daily

TikTok: NasionalDaily

Whatsapp: NasionalDaily.com

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *