Oleh Fatin Sajidah Fathuldin
PALOH —- Calon Pakatan Harapan (PH) N30 DUN Paloh, Dr. Ruban Arumugam, mendakwa insiden pembakaran beberapa bendera PH di kawasan Paloh merupakan satu taktik kotor bertujuan menakutkan pengundi dan penyokong sepanjang tempoh kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Menurut beliau, kejadian itu dimaklumkan oleh anggota pasukan kempennya petang semalam selepas mendapati dua bendera PH dipasang di Sentral Paloh dibakar sehingga tinggal batang kayu, manakala dua lagi mengalami kesan terbakar pada bahagian tepi.
“Perbuatan ini bukan sahaja tidak beretika dan tidak bertanggungjawab, malah merupakan satu cubaan serius untuk mencemarkan proses demokrasi sepanjang tempoh berkempen,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Dr. Ruban berkata beliau segera ke lokasi bersama Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat DAP, Kasthuri Patto, bagi meninjau sendiri keadaan tersebut.
“Kami turut mendapati terdapat sebuah kamera litar tertutup (CCTV) di kediaman berhampiran dan berharap rakaman jelas dapat membantu pihak berkuasa mengenal pasti pelaku,” kata beliau.
Beliau memaklumkan salah seorang jentera PH yang bertugas sebagai Pegawai Penguatkuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) telah membuat laporan polis di Balai Polis Paloh.
Beliau berkata juga bahawa beberapa jam kemudian pihak polis turut memaklumkan berlaku satu lagi kejadian bendera PH dibakar di kawasan Chamek dalam DUN yang sama.
Dr. Ruban menegaskan tindakan sedemikian perlu dihentikan segera kerana ia berlaku ketika kempen PRN Johor baru memasuki hari ketiga selepas penamaan calon pada 27 Jun lalu.
“Perbezaan ideologi dan prinsip politik tidak seharusnya diterjemahkan melalui vandalisme, politik ketakutan, kebencian, ugutan atau kempen memburuk-burukkan mana-mana pihak,” katanya.
Beliau turut menyeru semua penyokong dan jentera DAP serta Pakatan Harapan supaya bertenang dan terus berkempen secara sihat tanpa melanggar undang-undang.
“Saya menggesa PDRM menjalankan siasatan yang menyeluruh dan telus serta mengambil tindakan segera terhadap pihak yang bertanggungjawab mengikut lunas undang-undang,” kata beliau.
Dalam masa sama, beliau meminta Suruhanjaya Pilihan Raya memberi perhatian serius terhadap insiden tersebut bagi memastikan kempen PRN Johor berlangsung secara aman, teratur dan lancar sehingga hari pengundian pada 11 Julai.
Fatin Sajidah Fathuldin adalah pelajar Sarjana Muda Komunikasi Dengan Kepujian dari USIM yang sedang menjalani Latihan Industri di Nasional Daily
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001