KUALA LUMPUR: Parti Wawasan Negara mengumumkan pendirian tidak bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 pada bulan depan.
Bagaimanapun, Presidennya, Datuk Seri Hamzah Zainudin, berkata pihaknya kekal menyokong mana-mana calon yang dirasakan layak untuk memenangi kerusi pada pilihan raya itu.
Beliau berkata, apa yang penting ketika ini adalah memastikan peranan Wawasan Negara sebagai parti yang menjadi jambatan penyatuan dalam Perikatan Nasional (PN).
“Oleh kerana saya presiden yang baharu, saya mahu memastikan kita mengambil tindakan terbaik. Jadi, hari ini kita membuat keputusan untuk tidak menyertai PRN Johor.
“Tidak menyertai bukan bermakna kita tidak menyokong mana-mana calon. Kita akan mengumumkan sokongan kepada barisan calon yang kita rasa layak untuk menguruskan Johor pada masa hadapan,” katanya pada sidang media di Pejabat Ketua Pembangkang, Bukit Tunku, di sini, hari ini.
Hamzah berkata, keputusan menyokong calon itu akan diumumkan selepas mesyuarat Majlis Tertinggi PN yang dijangka diadakan dalam masa terdekat.
“Perkara itu akan saya umumkan selepas Majlis Tertinggi PN bersidang pada masa terdekat bagi memutuskan siapa yang harus kita sokong.
“PRN Johor ini penting sebab Johor negeri yang besar. Jadi, kita fikir demi kepentingan rakyat di sini, biarlah mereka yang dipilih benar-benar mampu meneruskan perjuangan demi masa depan rakyat dan negeri.
“Insya-Allah, Johor akan jadi antara pemangkin kebangkitan ekonomi Malaysia pada masa depan,” katanya.
Hamzah yang juga Pengasas Gerakan RESET turut mengesahkan partinya akan bertanding pada PRN Negeri Sembilan yang diadakan tidak lama lagi.
“Saya mahu jelaskan kita akan menyertai PRN Negeri Sembilan,” katanya. – Berita Harian
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001