ROS masih meneliti permohonan pertukaran nama PCM kepada Wawasan Negara

KUALA LUMPUR:  Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) masih meneliti permohonan pertukaran nama Parti Cinta Malaysia (PCM) kepada Parti Wawasan Negara (Wawasan Negara), kata Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

Beliau yang juga Presiden parti itu berkata, pemilihan nama Wawasan Negara sesuai digunakan memandangkan ia tidak diguna pakai mana-mana parti lain.

Katanya, pandangan ahli dalam parti secara keseluruhan juga diambil kira dalam proses pemilihan nama berkenaan.

“Pertukaran nama PCM kepada Wawasan Negara adalah kehendak ahli, ia lulus sebulat suara.

“ROS sedang meneliti perkara itu, jika nama Wawasan Negara sama dengan parti lain, maka tidak dibenarkan (untuk digunakan), namun saya fikir nama itu sesuai dan masih belum digunakan,” katanya pada sidang media di Pejabat Ketua Pembangkang, Bukit Tunku, di sini hari ini.

Hamzah berkata, pertukaran nama itu juga tidak menjejaskan sebarang perlembagaan parti, kerana ia hanya membabitkan penjenamaan semata-mata.

Beliau berkata, apa yang penting ketika ini adalah objektif dalam membentuk penyatuan masyarakat berbilang kaum di bawah satu wadah.

“Apa kita lakukan hari ini adalah mengikut perlembagaan lama parti, yang kita ubah hanya nama dan jenama parti, manakala yang lain masih kekal.

“Jadi jangan persoalkan seolah-olah kami mengambil atau mengubah perlembagaan sesuka hati.

“Apa yang kami fikirkan adalah sebuah platform untuk semua rakyat bersama-sama dengan kami mengikut perlembagaan negara,” katanya.

Telegram: Nasional Daily

Facebook: Nasional Daily

TikTok: NasionalDaily

Whatsapp: NasionalDaily.com

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *