Oleh Siti Khadijah Manudin
PUTRAJAYA – Pelaksanaan Program BUDI MADANI Diesel (BUDI Diesel) bermula Julai ini dijangka dapat mengurangkan ketirisan subsidi diesel sehingga satu bilion liter setahun, sekali gus menjana penjimatan kerajaan sebanyak RM2 bilion setahun.
Menteri Kewangan II, Amir Hamzah Azizan, berkata reformasi subsidi diesel bersasar itu bertujuan menyeragamkan mekanisme subsidi diesel di seluruh negara menerusi satu sistem yang lebih telus, mesra pengguna dan berkesan.
Menurut beliau, corak penggunaan diesel di Sabah dan Sarawak menunjukkan trend luar biasa apabila penggunaan semasa menghampiri dua bilion liter setahun berbanding keperluan sebenar yang dianggarkan sekitar satu bilion liter setahun.
“Perbezaan ini menunjukkan wujudnya ketirisan sehingga satu bilion liter setahun yang perlu ditangani dengan lebih berkesan,” katanya dalam satu taklimat media di sini.
Beliau menjelaskan bahawa beban subsidi petrol dan diesel kerajaan meningkat secara mendadak daripada kira-kira RM800 juta sebulan kepada hampir RM4.7 bilion pada Mac dan RM4.9 bilion pada April berikutan kenaikan harga minyak global.
Pada masa sama, penggunaan diesel turut melonjak daripada sekitar 624 juta liter sebulan kepada hampir 1.2 bilion liter sebulan, sekali gus mencetuskan kebimbangan mengenai ketirisan subsidi.
Katanya, ketirisan tersebut berlaku melalui aktiviti penyeludupan rentas sempadan dan penyalahgunaan saluran subsidi oleh pihak yang tidak layak mendapatkan diesel bersubsidi.
Bagi mengatasi masalah itu, kerajaan akan memperkenalkan mekanisme pengesahan menggunakan MyKad, sama seperti pelaksanaan BUDI95, bagi memastikan hanya rakyat yang layak menerima subsidi diesel.
Di bawah program baharu itu, kira-kira 700,000 pemilik kenderaan diesel persendirian layak membeli diesel bersubsidi pada harga RM2.10 seliter di stesen minyak seluruh negara menggunakan MyKad bermula 1 Julai.
Amir Hamzah berkata penerima bantuan tunai BUDI Diesel sedia ada akan dipindahkan secara automatik ke sistem baharu tanpa perlu membuat permohonan semula. Akses awal kepada program itu akan dibuka mulai 27 Jun sebagai persediaan sebelum pelaksanaan penuh pada awal bulan depan.
Siti Khadijah Manudin adalah pelajar Sarjana Muda Komunikasi Dengan Kepujian dari USIM yang sedang menjalani Latihan Industri di NasionalDaily
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L