Faiz Fadzil

Johor Perlu Kerajaan Negeri Sehaluan Dengan Putrajaya Demi Kelangsungan Pembangunan – Faiz

JOHOR BAHRU – Rakyat Johor disaran memastikan kerajaan negeri yang dipilih kekal sehaluan dengan Kerajaan Persekutuan bagi menjamin kesinambungan pembangunan, pelaburan serta pelaksanaan projek-projek strategik yang memberi manfaat langsung kepada rakyat.

Setiausaha Agung Amanah, Faiz Fadzil berkata, pelbagai projek mega yang sedang dan akan dilaksanakan di Johor merupakan hasil komitmen Kerajaan Persekutuan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam memperkukuh pembangunan negeri itu.

Menurut beliau, tiga projek utama iaitu Landasan Berkembar Elektrik Johor Bahru-Gemas, Perkhidmatan Shuttle Selatan dan Sistem Transit Rapid (RTS) Link melibatkan perbelanjaan pembangunan melebihi RM15 bilion.

Katanya, jumlah itu tidak termasuk projek Elevated Autonomous Rapid Transit (E-ART) yang telah diluluskan Kerajaan Persekutuan dan dianggarkan bernilai kira-kira RM10 bilion.

“Pembangunan berskala besar ini bukan sahaja meningkatkan jaringan pengangkutan, malah berpotensi mewujudkan peluang pekerjaan, merancakkan aktiviti perniagaan dan memberi limpahan ekonomi kepada rakyat Johor,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Faiz berkata, hubungan erat antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan adalah selaras dengan prinsip federalisme yang diamalkan negara berdasarkan Perlembagaan Persekutuan.

Menurutnya, kerjasama yang baik antara kedua-dua peringkat kerajaan penting bagi memastikan hasil negara dapat disalurkan semula kepada negeri melalui pelbagai projek pembangunan dan infrastruktur.

Beliau turut menegaskan, pembangunan berterusan di Johor memerlukan kestabilan politik serta hubungan yang kukuh dengan Kerajaan Persekutuan bagi memastikan pelaksanaan agenda pembangunan dapat diteruskan.

Mengulas mengenai prestasi negeri yang ditadbir Pakatan Harapan (PH), Faiz berkata, Pulau Pinang telah membuktikan keupayaannya sebagai antara pemacu utama ekonomi negara apabila muncul sebagai penyumbang terbesar eksport Malaysia pada tahun 2025.

Katanya, negeri itu merekodkan eksport bernilai RM611.3 bilion atau 38 peratus daripada keseluruhan eksport negara, selain menerima pelaburan diluluskan sebanyak RM32.9 bilion yang dijangka mewujudkan lebih 28,000 peluang pekerjaan.

Dalam pada itu, beliau berkata, Johor turut mencatatkan prestasi memberangsangkan apabila merekodkan pelaburan diluluskan tertinggi di negara ini bagi tahun 2025 dengan nilai RM110 bilion, sekali gus berpotensi menjana lebih 24,000 peluang pekerjaan baharu.

Menurut beliau, peruntukan pembangunan Persekutuan kepada Johor juga meningkat daripada RM10.2 bilion pada tahun 2022 kepada RM14.6 bilion pada tahun 2026.

Sehubungan itu, Faiz berkata, rakyat Johor perlu menilai prestasi semasa kerajaan dalam aspek pembangunan ekonomi, pelaburan dan kesejahteraan rakyat ketika membuat keputusan politik pada masa hadapan.

Beliau turut menyifatkan kepimpinan Perdana Menteri berjaya membuktikan keupayaan Kerajaan Persekutuan dalam mengurus ekonomi negara, menarik pelaburan serta mengekalkan kestabilan politik dan pentadbiran.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *