NRES Beri Kerjasama Penuh Kepada SPRM Siasat Pemindahan Gajah Ke Jepun

KUALA LUMPUR – Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) akan memberikan kerjasama penuh kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam siasatan berhubung proses pemindahan tiga gajah Asia dari Zoo Taiping, Perak ke Zoo Tennoji, Osaka, Jepun.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, kementerian mengambil serius perkara itu dan komited memastikan siasatan dapat dijalankan secara telus, menyeluruh serta mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

Menurut beliau, NRES kekal berpegang kepada prinsip ketelusan, akauntabiliti dan kedaulatan undang-undang dalam setiap aspek pengurusan serta pemuliharaan hidupan liar negara.

“Sehubungan itu, kementerian sedia memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa bagi memastikan siasatan dapat dilaksanakan dengan teliti dan berintegriti,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Arthur berkata, kementerian tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk salah laku, penyelewengan atau pelanggaran prosedur sekiranya perkara itu dibuktikan melalui siasatan yang sedang dijalankan.

Beliau menegaskan, tindakan sewajarnya perlu diambil bagi memelihara integriti institusi kerajaan serta menjaga reputasi negara di peringkat antarabangsa.

Isu pemindahan tiga gajah Asia ke Jepun sebelum ini mendapat perhatian pelbagai pihak susulan timbulnya persoalan berkaitan prosedur dan proses yang digunakan dalam urusan berkenaan.

SPRM kini sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti sama ada wujud unsur salah laku atau ketidakpatuhan terhadap prosedur dalam pelaksanaan pemindahan haiwan tersebut.

Kerajaan menegaskan komitmennya untuk memastikan setiap urusan melibatkan aset hidupan liar negara dilaksanakan secara bertanggungjawab, telus dan selaras dengan peraturan yang ditetapkan.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *