MELAKA – Ketua Pemuda UMNO, Dr. Akmal Saleh membidas kenyataan Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari yang didakwa memberikan gambaran negatif terhadap hubungan rakyat Melaka dan Johor sepanjang kempen politik.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu menegaskan, kempen politik tidak sepatutnya dijadikan medan untuk menimbulkan persepsi buruk atau memfitnah rakyat Melaka.
“Saya mahu mengingatkan kepada YB Adly Zahari, kalau hendak berkempen, silakan. Tiada masalah. Tetapi jangan sampai memberi pandangan negatif dan memfitnah rakyat Melaka,” katanya dalam satu kenyataan.
Akmal berkata, sepanjang beliau menetap dan berkhidmat di kawasan Sungai Rambai serta Merlimau, tidak pernah timbul sentimen kebencian rakyat Melaka terhadap kehadiran rakyat Johor.
Menurut beliau, hubungan antara kedua-dua negeri sentiasa erat memandangkan ramai rakyat Melaka bekerja di Johor, khususnya di kawasan Muar, selain saling bergantung dalam pelbagai aspek termasuk perkhidmatan kesihatan.
Beliau turut menjelaskan, sebahagian besar pesakit dari kawasan Serkam, Merlimau dan Sungai Rambai yang mendapatkan rawatan di klinik kesihatan sering dirujuk ke Hospital Muar bagi mendapatkan rawatan lanjut.
“Rakyat Melaka juga mendapat manfaat daripada Hospital Muar dan kami tidak mempunyai masalah atau perasaan tidak suka terhadap rakyat Johor,” katanya.
Sehubungan itu, Akmal menggesa agar kempen politik dijalankan secara sihat tanpa mengheret rakyat atau menimbulkan fitnah yang boleh menjejaskan hubungan baik antara masyarakat di kedua-dua negeri.
Dalam masa sama, beliau mendakwa rakyat lebih kecewa terhadap pemimpin yang gagal menunaikan janji selepas memenangi pilihan raya.
“Yang kami tidak suka adalah pemimpin yang membohong janji macam-macam, tetapi apabila sudah menang, janji itu hanya tinggal janji,” ujarnya.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L