Panik Kolesterol Naik Pasca Raya: Mitos atau Realiti dalam Kalangan Rakyat Malaysia?

Oleh: Dr. Nur Nabilah Abu Bakar, Dr. Wan Noraini Wan Sulaiman dan Dr. Sharifah Najwa Syed Mohamad

SETIAP kali musim perayaan berakhir, ramai mula bergurau tentang ”lesen makan” ketika Hari Raya. Ada yang mula mengeluh seluar semakin ketat, berat badan bertambah, malah tidak kurang juga yang mendapati bacaan kolesterol meningkat selepas menjalani pemeriksaan kesihatan.

Persoalannya, adakah kolesterol benar-benar mudah meningkat selepas raya dalam sekelip mata, atau ia sekadar persepsi masyarakat?

Hakikatnya, peningkatan kolesterol selepas musim perayaan bukanlah mitos semata-mata. Lonjakan ini tidak berlaku dalam masa satu malam, sebaliknya ia adalah kesan pengumpulan (cumulative effect) daripada apa yang kita makan dari satu rumah terbuka ke rumah terbuka yang lain. Corak pemakanan ketika Hari Raya ini sememangnya menyumbang kepada peningkatan paras kolesterol, terutamanya apabila pengambilan makanan tinggi lemak dan gula berlaku secara berlebihan dan berterusan untuk tempoh beberapa minggu.

Mitos: “Makanan berlemak yang saya makan 3 hari lepas sedang terapung dalam sampel darah saya”.

Apabila darah diambil selepas anda berpuasa selama 10 hingga 12 jam, ramai yang membayangkan bahawa lemak daripada hidangan berat yang diambil beberapa hari lepas masih pekat mengalir di dalam darah.

Secara realitinya, sistem “paip” tubuh kita bekerja jauh lebih cekap daripada itu. Apabila anda mengambil makanan yang tinggi lemak, lemak diet tersebut akan dibungkus ke dalam kenderaan pengangkutan sementara yang dipanggil kilomikron (chylomicrons). Ia masuk ke dalam aliran darah untuk mengedarkan tenaga ke tisu badan, tetapi biasanya akan dibersihkan sepenuhnya oleh sistem badan dalam tempoh 6 hingga 8 jam sahaja selepas makan.

Oleh itu, selepas tempoh puasa semalaman tersebut selesai, partikel kilomikron yang membawa lemak makanan tersebut sudah pun lama dibersihkan daripada aliran darah. Apa yang sebenarnya diukur dalam ujian profil lipid (lemak) ini ialah kolesterol yang dibentuk dan diedarkan secara endogenus oleh organ hati anda seperti LDL (kolesterol jahat) dan HDL atau high-density lipoproteins (kolesterol baik). Oleh itu, fasa makan-makan yang singkat tidak akan mengubah bacaan asas ini dalam sekelip mata.

Makanan Raya dan Kandungan Lemak tersembunyi

Hari Raya sememangnya sinonim dengan pelbagai juadah tradisional seperti rendang, kuah kacang, lemang, nasi impit, lontong, sate, serta aneka kuih raya. Walaupun makanan ini menjadi simbol kemeriahan dan budaya masyarakat Malaysia, kebanyakannya mengandungi kandungan santan, minyak, gula, dan lemak tepu yang tinggi.

Sering kali, apa yang kita tidak nampak ialah ‘lemak tersembunyi’. Mentega dan minyak sapi di dalam biskut raya yang rangup, serta minyak masakan yang diserap di dalam kuah kacang, semuanya sarat dengan asid lemak tepu. Lemak tepu yang diambil secara berlebihan boleh meningkatkan paras kolesterol lipoprotein berketumpatan rendah atau dalam bahasa inggeris disebut sebagai low density lipoprotein (LDL), yang lebih dikenali sebagai ”kolesterol jahat”. Dalam jangka masa panjang, keadaan ini boleh meningkatkan risiko penyakit jantung dan salur darah.

Tambahan pula, budaya open house yang berlangsung hampir setiap minggu sepanjang syawal menyebabkan ramai individu makan lebih kerap daripada kebiasaan. Tanpa disedari, kita mengambil makanan berat beberapa kali sehari dalam kuantiti yang besar tanpa kawalan porsi (portion control) mahupun aktiviti fizikal yang mencukupi untuk membakarnya semula.

Adakah Kolesterol Boleh Naik Dalam Masa Singkat?

Persoalannya, adakah keterlanjuran yang hanya berlaku sepanjang sebulan musim perayaan ini cukup untuk merosakkan profil kesihatan kita. Ramai yang beranggapan kolesterol hanya meningkat selepas bertahun-tahun mengamalkan diet tidak sihat. Sebenarnya, jika fasa makan-makan yang singkat ini berlarutan sehingga beberapa minggu (seperti sepanjang sebulan sambutan raya), ia sememangnya boleh mempengaruhi bacaan kolesterol darah. Kesan ini jauh lebih cepat berlaku bagi individu yang mempunyai risiko sedia ada seperti obesiti, diabetes, atau sejarah keluarga.

Walaupun perubahan kecil pada peringkat awal mungkin bersifat sementara, tabiat makan berlebihan yang diteruskan selepas musim perayaan boleh menjadi titik permulaan kepada masalah kesihatan yang lebih serius.

Bukan Salah Rendang Semata-mata

Namun begitu, tindakan menuding jari kepada satu jenis makanan sahaja adalah kurang tepat. Kolesterol tinggi biasanya berlaku akibat gabungan beberapa faktor seperti:

  • Pemakanan tidak seimbang
  • Kurang aktiviti fizikal
  • Berat badan berlebihan
  • Merokok
  • Faktor genetik
  • Kurang tidur dan stress

Musim perayaan hanya menjadi ”pemangkin” kepada gaya hidup kurang sihat yang mungkin sudah lama berlaku sebelum ini.

Malah, bagi seseorang yang mengamalkan prinsip bersederhana dalam pemakanan dan kekal aktif bergerak ketika Raya, mereka masih boleh menikmati pelbagai juadah kegemaran semasa musim perayaan tanpa perlu bimbang tentang peningkatan kolesterol yang ketara.

Raya Tetap Boleh Dinikmati Secara Sihat

Hari Raya bukan bermaksud masyarakat perlu mengelakkan semua makanan tradisional. Sebaliknya, pendekatan yang lebih bijak dan sederhana amat penting.

Antara langkah mudah yang boleh diamalkan ialah:

  • Mengawal porsi makanan ketika beraya : Amalkan konsep suku-suku separuh walaupun ketika berkunjung ke rumah terbuka.
  • Mengurangkan pengambilan minuman manis: Hadkan pengambilan air kordial atau minuman berkarbonat, dan pilih air kosong sebagai alternatif utama.
  • Memilih lauk yang kurang berlemak: Utamakan daging yang dibuang lemak atau ayam tanpa kulit, serta lebihkan hidangan berasaskan sup seperti soto berbanding kuah santan pekat.
  • Meningkatkan pengambilan serat: Imbangkan hidangan berat dengan memakan buah-buahan atau ulam-ulaman yang disediakan
  • Kekal aktif bergerak: Ambil peluang untuk berjalan kaki ketika menziarahi jiran tetangga atau lakukan aktiviti fizikal ringan bersama keluarga.

Konsep ”makan secara sederhana” sebenarnya selari dengan ajaran Islam yang menekankan keseimbangan dalam kehidupan.

Islam Mengajar Kesederhanaan dalam Pemakanan

Dalam Islam, konsep kesederhanaan dalam makan dan minum telah lama ditekankan. Allah SWT berfirman:

”Makan dan minumlah, tetapi jangan berlebihan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang berlebihan-lebihan. ”

(Surah al- A’raf, ayat 31)

Ayat ini sangat relevan dalam konteks pemakanan ketika musim perayaan. Walaupun makanan Hari Raya merupakan nikmat dan rezeki yang perlu disyukuri, pengambilan secara berlebihan boleh memudaratkan kesihatan.

Selain itu, Rasulullah SAW juga bersabda:

“Tidak ada bekas yang diisi oleh manusia yang lebih buruk daripada perutnya. Cukuplah bagi anak Adam beberapa suap makanan untuk menegakkan tulang belakangnya.”

(Riwayat al -Tirmizi)

Hadis ini menunjukkan bahawa Islam bukan sahaja menitikberatkan ibadah spiritual, malah turut mengajar disiplin pemakanan dan penjagaan kesihatan.

Kesimpulannya kenaikan kadar kolesterol naik pasca-Raya bukanlah suatu mitos, namun ia juga tidak berlaku secara automatik kepada semua orang. Sebaliknya, risiko ini sangat  bergantung kepada corak pemakanan dan sejauh mana kita menjaga gaya hidup sepanjang musim perayaan.

Meraikan Hari Raya adalah tentang mensyukuri kemenangan dan mengeratkan ukhuwwah, bukannya mencetuskan komplikasi kesihatan kronik. Melalui pilihan hidangan yang lebih bijak, bersederhana, dan berlandaskan panduan agama, kita semua masih boleh menikmati kemeriahan Raya tanpa perlu dibayangi kerisauan tentang lonjakan kolesterol.

Penulis bersama, Dr. Nur Nabilah Abu Bakar, Pensyarah Fisiologi Jabatan Sains Perubatan I, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, USIM;

Dr Wan Noraini Wan Sulaiman, Pensyarah Perubatan Unit Biokimia, Jabatan Sains Perubatan I, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, USIM;

Dr Sharifah Najwa Syed Mohamad, Pensyarah Perubatan, Unit Perubatan Keluarga, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, USIM & Pakar Perubatan Keluarga, Klinik Pakar Kesihatan USIM, USIM Healthcare Sdn. Bhd.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *