Gempa Bumi Filipina: IR Malaysia Lancar Rayuan Dana, Sasar RM50,000

ISLAMIC Relief Malaysia (IR Malaysia) melancarkan Kempen Rayuan Gempa Bumi Filipina pada 10 Jun lalu bagi mengumpul dana sebanyak RM50,000 untuk membantu mangsa gempa bumi kuat bermagnitud 7.8 yang melanda wilayah Mindanao, Filipina.

Gempa bumi yang berlaku pada 8 Jun di luar pantai Maasim, Sarangani itu telah mengorbankan sekurang-kurangnya 68 nyawa setakat 17 Jun, manakala 33 lagi dilaporkan masih hilang.

Pihak berkuasa turut mengesahkan lebih 6,600 gegaran susulan direkodkan, dengan kekuatan antara magnitud 1.2 hingga 6.4.

Bencana itu memberi kesan besar kepada lebih 1.4 juta penduduk yang melibatkan 340,330 keluarga di 540 kampung di beberapa wilayah termasuk Region IX, XI, XII dan BARMM.

Sarangani dikenal pasti sebagai antara kawasan paling terjejas dengan puluhan ribu keluarga masih berdepan kehilangan tempat tinggal serta kerosakan kediaman dan infrastruktur awam.

Menurut laporan terkini dari lapangan, sebanyak 74,084 rumah rosak termasuk 13,661 rumah musnah sepenuhnya, selain kerosakan kepada sekolah, hospital, jalan raya, jambatan dan premis awam.

Lebih 3.2 juta pelajar turut terjejas susulan penutupan sekolah dan kerosakan kemudahan pendidikan.

Operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan, manakala angka korban dijangka meningkat seiring dengan usaha penilaian di lapangan.

Islamic Relief Philippines (IR Philippines) pada masa ini sedang bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa tempatan termasuk Pejabat Pertahanan Awam (OCD), Pejabat Pengurusan dan Pengurangan Risiko Bencana (DRRMOs) serta rakan kemanusiaan bagi menyelaras bantuan kecemasan berdasarkan penilaian keperluan pantas.

Penduduk terjejas, Gina, 28, yang merupakan ibu kepada enam anak, berkata beliau hanya sempat menyelamatkan dua anak kecilnya sebelum rumah mereka runtuh.

“Kami berada dalam rumah semasa kejadian. Kami kehilangan segalanya dalam sekelip mata, tetapi saya bersyukur kerana anak-anak saya selamat,” katanya ketika ditemui di pusat pemindahan sementara.

Seorang lagi penduduk, Jainoden, berkata beliau terpaksa meninggalkan rumah yang dibina hasil usaha bertahun-tahun demi keselamatan keluarganya.

“Rumah ini saya bina buat isteri dan lima anak saya. Namun, saya tidak sanggup tinggal di rumah ini lagi walaupun ia hasil titik peluh saya. Keselamatan keluarga lebih penting,” katanya.

Pengurus Program dan Kemanusiaan IR Philippines, Ronald Cabalquinto memaklumkan bahawa bantuan tunai kecemasan menjadi keperluan paling mendesak ketika ini bagi membolehkan mereka yang terjejas membeli barangan asas mengikut keutamaan masing-masing termasuk makanan, ubat-ubatan dan keperluan harian.

“Keutamaan kami adalah memastikan bantuan sampai kepada keluarga paling teruk terkesan secepat mungkin. Bantuan tunai memberi fleksibiliti kepada mereka untuk menentukan keperluan paling mendesak,” katanya.

Selain bantuan kecemasan, Islamic Relief turut memberi fokus kepada keperluan tempat tinggal, air bersih, sanitasi, barangan keperluan serta sokongan psikososial kepada penduduk terjejas.

Orang ramai boleh menyalurkan sumbangan melalui Kempen Rayuan Gempa Bumi Filipina IR Malaysia di www.islamic-relief.org.my atau hubungi 03-8926 3434 untuk info lanjut.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *