Wanita buat laporan palsu kena samun gara-gara mahu tarikh perhatian suami, dihukum penjara, denda

MIRI – Gara-gara mahu menarik perhatian suami yang disyaki mempunyai hubungan dengan wanita lain, seorang wanita tempatan menerima padah apabila dijatuhi hukuman penjara dua minggu dan denda RM1,000 selepas mengaku bersalah membuat laporan polis palsu.

Mahkamah Majistret Miri menjatuhkan hukuman itu terhadap wanita berusia 29 tahun berkenaan selepas didapati bersalah mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana memberi maklumat palsu kepada pihak berkuasa.

Sebelum ini, tertuduh membuat laporan mendakwa dirinya menjadi mangsa rompakan pada 27 Mei lalu kira-kira jam 10 malam di tepi jalan berhampiran Gereja Miri Gospel Chapel, Pujut.

Dalam laporan itu, wanita terbabit mendakwa disamun empat lelaki tidak dikenali yang menaiki kenderaan jenis Toyota Hilux.

Dia turut mendakwa kehilangan barang kemas termasuk rantai, cincin, gelang tangan serta wang tunai RM350 dengan jumlah kerugian keseluruhan kira-kira RM3,130.

Susulan laporan itu, polis menjalankan siasatan dan mendapati beberapa perkara dalam keterangan wanita terbabit mencurigakan, selain tiada saksi bebas yang mengesahkan kejadian tersebut.

Siasatan lanjut kemudian membongkar kejadian rompakan itu sebenarnya tidak berlaku.

Wanita yang berasal dari Limbang itu akhirnya mengaku laporan tersebut direka semata-mata untuk mendapatkan perhatian suaminya yang bekerja di kawasan luar pesisir (offshore) Pulau Melayu.

Lebih mengejutkan, semua barang yang didakwa hilang ditemui semula selepas disorok oleh tertuduh di dalam bonet kenderaan miliknya sendiri.

Ketua Polis Daerah Miri, ACP Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang membuat laporan palsu kerana ia membazirkan masa, tenaga serta sumber pihak polis.

Beliau berkata, perbuatan itu juga boleh menjejaskan siasatan terhadap kes jenayah sebenar yang memerlukan tindakan segera.

Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa memberikan maklumat yang tepat kepada pihak berkuasa bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terpelihara.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *