Oleh Fatin Sajidah Fathuldin
ALOR SETAR – Naib Presiden Parti Amanah Negara, Mahfuz Omar mempersoalkan pendirian UMNO yang menegaskan Kerajaan Negeri Johor tidak terikat dengan model Kerajaan Perpaduan, sedangkan pendekatan berbeza dilaksanakan di Melaka.
Beliau berkata, alasan Johor tidak terikat dengan Kerajaan Perpaduan kerana kerajaan negeri itu dibentuk sebelum PRU15 adalah tidak konsisten memandangkan Kerajaan Negeri Melaka juga dibentuk sebelum pembentukan Kerajaan Madani di peringkat Persekutuan.
“Jika alasan ‘menang sebelum PRU15’ dan ‘tidak terikat’ digunakan untuk mengetepikan PH di Johor, mengapa formula yang sama tidak terpakai di Melaka?” katanya di laman Facebook miliknya
Menurut beliau, walaupun Barisan Nasional memperoleh majoriti dua pertiga pada PRN Melaka 2021, pentadbiran di bawah Ketua Menteri Melaka, Ab Rauf Yusoh tetap melibatkan wakil Pakatan Harapan dalam struktur kerajaan negeri termasuk pelantikan wakil DAP sebagai EXCO dan Timbalan EXCO.
Mahfuz juga mempersoalkan mengapa formula kerjasama yang diterima di Melaka tidak diterapkan di Johor jika UMNO benar-benar komited kepada semangat Kerajaan Perpaduan.
“Di Putrajaya bercakap soal perpaduan, di Melaka boleh berkongsi kerajaan, tetapi di Johor DAP dijadikan musuh politik dan PH diketepikan. Satu parti, tiga cerita berbeza. Rakyat bukan lagi mudah dikelirukan,” katanya.
“Kalau Melaka boleh matang bersama PH dan Kerajaan Madani, kenapa Johor masih mahu hidup dalam politik ketakutan?” katanya.
Katanya, UMNO tidak boleh menggunakan hujah kestabilan politik hanya apabila ia menguntungkan parti tersebut, sebaliknya perlu menunjukkan pendirian yang konsisten terhadap kerjasama dalam Kerajaan Madani di semua negeri.
Fatin Sajidah Fathuldin adalah pelajar Sarjana Muda Komunikasi Dengan Kepujian dari USIM yang sedang menjalani Latihan Industri di Nasional Daily
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L