Malaysia Perlu Perkukuh Kefahaman Hubungan China-AS, Kata Zambry

Oleh Fatin Sajidah Fathuldin

PUTRAJAYA – Hubungan antara China dan Amerika Syarikat perlu difahami secara strategik bagi memastikan Malaysia mampu mengekalkan dasar luar yang seimbang, relevan serta berdaya tahan dalam menghadapi perubahan landskap geopolitik global.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir berkata, dialog ilmiah memainkan peranan penting dalam membantu masyarakat memahami dinamika hubungan antara dua kuasa besar dunia yang turut memberi kesan kepada rantau Asia dan Malaysia.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Syarahan Umum bertajuk “Hubungan China-AS dan Impaknya kepada Malaysia” yang dianjurkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) di sini, petang semalam.

Menurut beliau, pendekatan Malaysia dalam menangani isu antarabangsa perlu berteraskan ilmu, keterbukaan perspektif serta keupayaan menilai perubahan geopolitik secara objektif.

“Malaysia perlu terus memperkukuh kefahaman strategik terhadap hubungan China dan Amerika Syarikat agar dasar luar negara kekal seimbang dan mampu menghadapi cabaran global yang semakin kompleks,” katanya.

Dalam masa sama, Zambry turut merakamkan penghargaan kepada Prof. Li Cheng atas sumbangan beliau dalam membantu komuniti akademik serta pembuat dasar memahami perkembangan politik dan struktur kepimpinan China.

Syarahan tersebut telah disampaikan oleh Prof. Li Cheng, Pengarah Pengasas Pusat China Kontemporari dan Dunia (CCCW), Universiti Hong Kong, yang membincangkan evolusi hubungan China-Amerika Syarikat serta implikasinya terhadap negara-negara lain termasuk Malaysia.

Beliau menegaskan bahawa institusi pendidikan tinggi mempunyai peranan strategik sebagai jambatan kefahaman antara tamadun, khususnya dalam dunia yang semakin kompleks dan berpolarisasi.

Menurut Prof. Li, CCCW berfungsi sebagai platform dialog antarabangsa yang menghubungkan sarjana, institusi akademik dan pembuat dasar bagi memahami perubahan tatanan dunia serta cabaran geopolitik semasa.

Program tersebut menghimpunkan sarjana antarabangsa, pembuat dasar dan warga akademia dalam usaha memperkukuh wacana ilmu berkaitan hubungan antarabangsa dan perkembangan geopolitik global.

Turut hadir ialah Ketua Setiausaha KPT, Datuk Ts. Dr. Aminuddin Hassim serta delegasi akademik dari Universiti Hong Kong.

Fatin Sajidah Fathuldin adalah pelajar Sarjana Muda Komunikasi Dengan Kepujian dari USIM yang sedang menjalani Latihan Industri di Nasional Daily

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *