Azmin Yakin Endau Kekal Milik Bersatu Walaupun Alwiyah Kembali Sertai UMNO

Oleh Fatin Sajidah Fathuldin

MERSING – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yakin kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Endau akan terus kekal menjadi kubu kuat parti itu meskipun bekas penyandangnya, Datuk Alwiyah Talib, mengambil keputusan kembali menyertai UMNO menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, kekuatan parti tidak bergantung kepada seorang individu semata-mata kerana sokongan akar umbi di kawasan Endau dan Mersing masih kukuh.

“Bersatu telah melalui pelbagai ujian di Mersing tetapi Mersing tetap menjadi kubu Bersatu. Parlimen Mersing dan Endau telah dimenangi oleh Bersatu manakala jumlah undi DUN Tenggaroh dalam Pilihan Raya Parlimen menunjukkan Bersatu menang di DUN ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri siri jelajah PRN di daerah tersebut sambil menyeru pimpinan parti di peringkat bahagian supaya terus memperkukuh gerak kerja bagi mempertahankan kerusi-kerusi di bawah Parlimen Mersing.

Kenyataan itu dibuat susulan keputusan Alwiyah meninggalkan Bersatu dan kembali menyertai UMNO pada 4 Jun lalu selepas hampir lapan tahun bersama parti berkenaan.

Alwiyah yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Endau berkata keputusan tersebut dibuat atas pertimbangannya sendiri demi kepentingan dan masa depan kawasan DUN Endau.

Beliau turut mengumumkan peletakan semua jawatan dalam Bersatu serta menegaskan tindakannya itu tidak dipengaruhi oleh mana-mana pihak.

Alwiyah memenangi kerusi DUN Endau atas tiket Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 sebelum menyertai Bersatu pada 2018.

Dalam PRN Johor 2022, beliau berjaya mempertahankan kerusi tersebut atas tiket Perikatan Nasional (PN).

Perkembangan itu dijangka menambah kehangatan persaingan di DUN Endau menjelang PRN Johor, dengan Bersatu dan UMNO dilihat bakal menguji kekuatan masing-masing untuk meraih sokongan pengundi di kawasan berkenaan.

Fatin Sajidah Fathuldin adalah pelajar Sarjana Muda Komunikasi Dengan Kepujian dari USIM yang sedang menjalani Latihan Industri di Nasional Daily

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *