KUALA LUMPUR – Hektar Real Estate Investment Trust (Hektar REIT) mencatatkan prestasi kewangan yang berdaya tahan bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2026.
Pencapaian positif berkenaan didorong oleh daya tahan operasi yang berterusan, peningkatan tahap penghunian serta pengurusan kos yang berdisiplin.
Pendapatan bersih yang direalisasikan telah melonjak sebanyak 11.8 peratus tahun ke tahun kepada RM4.65 juta berbanding RM4.16 juta sebelumnya.
Pada masa yang sama, Hektar REIT berjaya mengekalkan pendapatan yang stabil sebanyak RM31.02 juta bagi suku berkenaan.
Bagi metrik Pendapatan Hartanah Bersih (NPI), syarikat turut merekodkan peningkatan sebanyak 1.8 peratus tahun ke tahun untuk mencapai angka RM15.28 juta.
Peningkatan ini didorong terutamanya oleh kadar penghunian pusat membeli-belah yang bertambah baik serta inisiatif pengoptimuman operasi merentasi seluruh portfolio.
Margin NPI pula mencatatkan pengukuhan kepada 49.2 peratus berbanding 48.5 peratus pada suku yang sama tahun lalu. Pencapaian peningkatan margin berkenaan disokong kuat oleh aktiviti pengubahsuaian penyewa berserta langkah pengoptimuman kos yang konsisten bagi membina kecekapan operasi.
Dari sudut aktiviti pajakan, ruang peruncitan di bawah Hektar REIT mengekalkan momentum yang amat kukuh dengan kadar penghunian komited berjaya ditingkatkan kepada 86.1 peratus.
Hal ini secara langsung mencerminkan komitmen berterusan pengurus dalam menambah baik kadar penghunian portfolio berserta kualiti penyewa secara serentak.
Pihak pengurus juga melaporkan bahawa sebanyak 30 penyewaan baharu dan yang diperbaharui telah berjaya dimeterai dalam tempoh pelaporan berkenaan.
Perkembangan penyewaan yang sangat memberangsangkan ini telah menyumbang kepada pemulihan sewa keseluruhan yang positif sebanyak 3.0 peratus.
Sebagai usaha agresif untuk terus meningkatkan daya tarikan destinasi runcitnya, Hektar REIT telah berjaya menjalinkan pelbagai perkongsian strategik yang baharu.
Kemasukan jenama dan penyewa terkenal yang kini mewarnai portfolio peruncitan mereka termasuklah entiti seperti Pasar Raya Target, Honda dan Lucky Cup.
Menyentuh mengenai kedudukan imbangan duga setakat 31 Mac 2026, jumlah aset keseluruhan Hektar REIT telah dinilai mencecah angka RM1.46 bilion.
Nilai Aset Bersih (NAB) seunit pula kekal ditahap stabil pada paras RM1.045, manakala jumlah keseluruhan pinjaman adalah sebanyak RM603.13 juta.
Dalam merealisasikan aspek kelestarian dan penciptaan nilai jangka panjang, syarikat mengambil langkah proaktif melalui pemasangan panel solar atas bumbung yang dikendalikan dengan kerjasama Samaiden Group Bhd.
Sistem panel solar di lima buah pusat membeli-belah ini telah mula beroperasi dengan kapasiti penuh semenjak suku pertama 2026.
Bagi memperkukuhkan impak inisiatif hijau berkenaan kepada operasi syarikat, pihak pengurusan menjelaskan solar atas bumbung telah beroperasi sepenuhnya sejak S1 2026 dan akan menjana kira-kira RM2 juta penjimatan kos tenaga tahunan, melindungi portfolio daripada turun naik tarif dan mengurangkan jejak karbonnya dengan ketara,” katanya.
Selain inisiatif penjimatan berkenaan, pengurus baru-baru ini melengkapkan pengambilalihan sebuah petak tanah strategik bersebelahan Kolej Yayasan Saad yang disokong oleh struktur pajakan tiga kali ganda bersih.
Segmen hartanah bukan runcit ini dijangka berupaya untuk melonjakkan peratusan sumbangannya kepada jumlah NPI daripada 14.4 peratus kepada 17.4 peratus.
Untuk prospek fasa seterusnya, Hektar REIT terus kekal optimis secara berhati-hati dalam mendepani apa jua ketidakpastian sentimen ekonomi global yang berterusan. Sektor ini dijangka akan sentiasa disokong oleh tahap permintaan domestik yang stabil serta inisiatif peningkatan aset yang berpotensi memacu pertumbuhan.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L