NOSS Sebagai Penanda Aras Tenaga Mahir Negara

Oleh: Ir. Ts. Dr. Kamaruzaman Md. Ali

APABILA kita bercakap mengenai Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), ramai yang terus membayangkan latihan kemahiran, bengkel, mesin, peralatan dan sijil.

Namun, di sebalik semua itu, ada satu asas penting yang menentukan sama ada latihan yang diberikan memenuhi kehendak industri atau tidak dan asas itu ialah National Occupational Skills Standard (NOSS) atau Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan.

NOSS bukan dokumen biasa. Ia merupakan standard pekerjaan yang dibangunkan oleh industri dengan kerjasama Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) dan diluluskan oleh Majlis Pembangunan Kemahiran Kebangsaan (MPKK) di bawah Akta Pembangunan Kemahiran Kebangsaan 2006 (Akta 652).

Sehingga kini, sebanyak 2,024 NOSS telah dibangunkan merangkumi pelbagai sektor pekerjaan dan angka ini bukan kecil. Ia menggambarkan pelaburan besar kerajaan dalam membina asas pembangunan tenaga mahir negara secara tersusun dan berasaskan keperluan sebenar pekerjaan.

Selama ini, NOSS sering dikaitkan dengan Sistem Persijilan Kemahiran Malaysia (SPKM). Melalui NOSS, penyedia latihan membangunkan kurikulum, melaksanakan latihan, menilai kompetensi dan seterusnya melahirkan graduan yang layak dianugerahkan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), Diploma Kemahiran Malaysia (DKM) dan Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia (DLKM).

Dalam bahasa mudah, NOSS memastikan latihan TVET tidak dibuat secara andaian, tetapi berdasarkan kompetensi dan SOP pekerjaan sebenar yang diperlukan di tempat kerja.

Namun, dalam era ekonomi yang semakin mencabar, peranan NOSS tidak sepatutnya terhenti dalam bilik latihan atau pusat bertauliah sahaja.

NOSS perlu digunakan dengan lebih luas oleh industri. Ia boleh dijadikan rujukan oleh majikan untuk membangunkan latihan dalaman, mengenal pasti jurang kemahiran pekerja, menyusun laluan kerjaya, menetapkan kriteria jawatan, menilai prestasi dan merancang program peningkatan kemahiran serta latihan semula.

Lebih penting, pengiktirafan industri terhadap NOSS akan meningkatkan keyakinan terhadap graduan TVET dan persijilan kemahiran negara.

Apabila industri menerima NOSS sebagai standard rujukan, maka graduan TVET yang dilatih berdasarkan NOSS akan dilihat lebih bersedia, lebih relevan dan lebih mudah diserap ke pasaran kerja.

Persijilan seperti SKM, DKM dan DLKM juga tidak lagi dilihat sekadar sijil tamat latihan, tetapi sebagai bukti kompetensi yang boleh diukur dan diyakini.

Dalam konteks yang lebih besar, NOSS juga mempunyai kaitan langsung dengan daya tarikan pelaburan asing.

Pelabur asing yang hendak melabur di Malaysia bukan sahaja melihat kepada insentif, lokasi strategik atau kemudahan infrastruktur. Mereka juga menilai sama ada negara ini mempunyai bekalan tenaga kerja mahir yang mencukupi dan kompeten.

Di sinilah NOSS boleh menjadi nilai tambah kepada Malaysia. Kewujudan standard kompetensi nasional yang dibangunkan bersama industri memberi isyarat bahawa negara mempunyai ekosistem bakat yang tersusun dan bersedia menyokong sektor-sektor bernilai tinggi seperti semikonduktor, pembuatan termaju, automasi, digital, tenaga boleh baharu dan teknologi hijau.

Jika digunakan dengan lebih strategik, NOSS mampu membantu negara mengurangkan ketidakpadanan kemahiran, meningkatkan produktiviti industri dan mempercepat pembangunan tenaga kerja yang sesuai dengan permintaan ekonomi.

Ini bukan sahaja memberi manfaat kepada graduan TVET dan majikan, tetapi juga menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara secara keseluruhan.

Dalam hal ini, badan industri dan majikan seperti Federation of Malaysian Manufacturers (FMM), Malaysian Employers Federation (MEF) serta 33 Industry Lead Body (ILB) yang dilantik oleh JPK boleh memainkan peranan lebih besar dalam mengarusperdanakan penggunaan NOSS dalam kalangan ahli masing-masing.

FMM, MEF dan ILB boleh bertindak sebagai jambatan antara dasar Kerajaan dengan keperluan sebenar industri melalui advokasi, libat urus berterusan, penyediaan panduan pelaksanaan serta galakan kepada syarikat untuk menerima pakai NOSS secara lebih aktif dalam pembangunan tenaga kerja.

Selain itu, Government-Industry TVET Coordination Body (GITC) pula boleh berperanan sebagai platform penyelarasan strategik antara Kerajaan dan industri.

Peranan ini penting bagi memastikan penggunaan NOSS tidak terhenti pada peringkat latihan semata-mata, sebaliknya diperluas kepada perancangan tenaga kerja, pemadanan bakat, pembangunan sektor ekonomi utama serta pengiktirafan kompetensi industri secara lebih menyeluruh.

Kesimpulannya, NOSS tidak wajar dilihat sebagai dokumen teknikal semata-mata. Ia adalah aset strategik negara.

Melalui agenda (R)EVOLUSI TVET, sudah tiba masanya NOSS diangkat sebagai standard kompetensi nasional yang diyakini industri, dihargai majikan, memperkukuh nilai graduan TVET dan menjadi sebahagian daripada kekuatan Malaysia dalam menarik pelaburan berkemahiran tinggi.

TVET akan lebih dihormati apabila standardnya diiktiraf, graduannya diyakini dan persijilannya benar-benar bernilai di mata industri.

Ir. Ts. Dr. Kamaruzaman bin Hj. Md. Ali Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Kemahiran Kementerian Sumber Manusia

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *