KUALA LUMPUR – Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) menyuarakan sokongan terhadap titah peringatan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang menyeru agar orang Melayu dan umat Islam memperkukuh perpaduan serta mengelakkan perpecahan dalam kalangan masyarakat.
Ketua Penerangan Pejuang, Rafique Rashid berkata, perpaduan Melayu perlu diperkukuh bagi mengelakkan perpecahan dalaman yang menurutnya boleh melemahkan kekuatan politik, ekonomi dan kedudukan umat Melayu di negara ini.
Beliau berkata, sejarah lampau seperti kejatuhan beberapa tamadun besar termasuk Kesultanan Melayu Melaka dan Empayar Uthmaniyah membuktikan bahawa perpecahan dalaman menjadi faktor utama kepada kelemahan sesuatu kuasa.
“Sejarah menunjukkan bahawa bangsa yang berpecah akan mudah dilemahkan. Perpecahan dari dalam membuka ruang kepada pihak lain mengambil kesempatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Rafique mendakwa bahawa unsur perpecahan dalam kalangan masyarakat sering kali berpunca daripada kepentingan politik, perebutan kuasa serta agenda tertentu yang melemahkan kesatuan.
Beliau turut menyatakan bahawa prinsip “pecah dan perintah” pernah digunakan dalam sejarah penjajahan British di Tanah Melayu bagi melemahkan perpaduan masyarakat tempatan.
Menurutnya, pendekatan sedemikian masih wujud dalam bentuk yang berbeza pada masa kini, termasuk melalui perbezaan politik yang boleh menjejaskan kesatuan orang Melayu.
Rafique berkata, Pejuang menyambut baik titah Sultan Selangor yang disifatkan sebagai peringatan penting mengenai keperluan memperkukuh perpaduan umat Melayu dan Islam.
“Titah Tuanku Sultan sebagai Ketua Pemerintah Negeri adalah isyarat jelas bahawa perpaduan Melayu perlu diberi perhatian serius dan diterjemahkan kepada tindakan,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa Pejuang sebelum ini telah berusaha untuk menyatukan orang Melayu dalam satu gabungan besar walaupun berdepan pelbagai cabaran.
Dalam masa sama, beliau menegaskan bahawa perbezaan politik tidak seharusnya menjadi penghalang kepada usaha memperkukuh perpaduan Melayu.
“Kita boleh berbeza pandangan politik, tetapi jangan sampai hilang kesedaran bahawa kekuatan Melayu terletak pada penyatuan,” katanya.
Beliau mengakhiri kenyataan dengan menyeru agar orang Melayu kembali bersatu dan menghentikan perpecahan demi masa depan agama, bangsa dan negara.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L