UEC: Tiadanya isu syarat tidak jelas seperti didakwa

PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) tampil mempertahankan dasar kemasukan pemegang Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) susulan kritikan Dong Zong yang mendakwa syarat ditetapkan kementerian itu bersifat kabur dan tidak selaras dengan prinsip kesaksamaan pendidikan.

Ketua Pengarahnya, Datuk Azlinda Azman menegaskan, dakwaan itu dibuat terlalu awal memandangkan syarat rasmi berkaitan kemasukan lepasan UEC ke IPTA masih dalam proses penelitian dan belum dimuktamadkan sepenuhnya.

Menurut beliau, kenyataan Dong Zong yang mendakwa wujud pelbagai sekatan serta ketidakjelasan dalam pelaksanaan dasar berkenaan tidak berasas kerana KPT sendiri belum mengeluarkan syarat lengkap kepada umum.

“Syarat apa yang mereka maksudkan sebagai kabur? Kita belum lagi mengeluarkan syarat rasmi. Jadi, saya tidak faham bagaimana tuduhan itu boleh dibuat lebih awal,” katanya dalam sidang media di Putrajaya semalam.

Azlina menegaskan demikian sebagai menjawab kritikan Dong Zong yang mendakwa, syarat dikenakan KPT terhadap pemegang UEC yang hendak memasuki universiti awam tidak memenuhi prinsip kesaksamaan pendidikan.

Dong Zong dilaporkan berkata, pengumuman terbaharu kementerian yang membenarkan pemegang UEC dari sekolah menengah persendirian Cina memohon ke universiti awam bersifat “kabur”, selain mengenakan pelbagai sekatan.

Menurut kumpulan itu, langkah berkenaan dilihat sekadar “satu isyarat sambil lewa” yang gagal memenuhi harapan masyarakat Cina.

Tegas Azlinda, setiap universiti awam mempunyai garis panduan akademik, syarat kemasukan dan standard tertentu yang perlu dipatuhi oleh semua calon tanpa mengira aliran pendidikan masing-masing.

Beliau menegaskan, perkara itu bukan sesuatu yang baharu atau luar biasa kerana IPTA sememangnya bertanggungjawab memastikan hanya pelajar yang benar-benar memenuhi tahap kelayakan akademik dibenarkan mengikuti program ditawarkan.

“Tiadanya isu syarat tidak jelas seperti yang didakwa. Di peringkat universiti, memang sudah ada standard dan kriteria tertentu yang perlu dipenuhi oleh mana-mana calon,” katanya.

Beliau turut menolak tanggapan KPT cuba mengenakan halangan terhadap pemegang UEC, sebaliknya menegaskan kementerian mengambil pendekatan berhati-hati bagi memastikan dasar tersebut dilaksanakan secara tersusun serta tidak menjejaskan standard pendidikan tinggi negara.

Dalam masa sama, Azlinda menekankan, peluang kepada lepasan UEC untuk memasuki IPTA merupakan langkah signifikan yang diputuskan kerajaan selepas mengambil kira pelbagai aspek termasuk kepentingan nasional, kualiti akademik dan keharmonian sistem pendidikan negara.

Semalam, KPT mengumumkan lepasan Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) yang memiliki UEC akan diberi peluang memohon mengikuti beberapa program tertentu di IPTA.

Selain pemegang UEC, kerajaan turut membuka laluan kepada pelajar institusi tahfiz untuk melanjutkan pengajian dalam program-program tertentu yang dikenal pasti di universiti awam.

Menurut kementerian itu, keputusan berkenaan dibuat hasil pertimbangan dan persetujuan Mesyuarat Jemaah Menteri berkaitan laluan kemasukan pelajar daripada sistem pendidikan di luar sistem pendidikan kebangsaan ke IPTA.

Pengumuman tersebut bagaimanapun mengundang reaksi daripada Dong Zong yang mendakwa dasar itu masih tidak jelas, selain dikatakan mengandungi pelbagai syarat yang dianggap menyekat akses pemegang UEC ke universiti awam.

Namun, KPT menegaskan segala syarat dan mekanisme kemasukan akan diperincikan secara rasmi selepas proses penyelarasan selesai, selaras dengan keperluan universiti serta dasar pendidikan tinggi negara.

Azlinda berkata, kementerian tidak mahu sebarang pihak membuat kesimpulan terburu-buru atau mencetuskan persepsi negatif terhadap usaha kerajaan memperluaskan akses pendidikan tinggi kepada pelbagai kelompok pelajar.

“Kita sedang memperhalusi perkara ini dengan teliti. Jadi tidak timbul soal berlaku ketidakadilan atau syarat yang sengaja diwujudkan untuk menyulitkan mana-mana pihak,” katanya.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *