TEHRAN – Iran mengeluarkan amaran keras bahawa Selat Hormuz hanya akan kekal terbuka kepada negara yang dianggap sebagai “rakan” Tehran, manakala akses terhadap pihak yang dilabel sebagai musuh boleh disekat sepenuhnya.
Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi menegaskan republik Islam itu mempunyai kuasa penuh untuk menentukan pergerakan di laluan maritim strategik berkenaan yang menjadi nadi utama perdagangan tenaga dunia.
“Dari sudut pendirian kami, Selat Hormuz tidak ditutup kepada negara sahabat. Tetapi bagi musuh Iran, situasinya berbeza,” katanya ketika menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri Luar BRICS di New Delhi, Jumaat.
Kenyataan itu dilihat sebagai mesej langsung kepada Amerika Syarikat (AS) dan Israel yang terus meningkatkan tekanan ketenteraan serta ekonomi terhadap Tehran sejak tercetusnya konflik serantau pada akhir Februari lalu.
Dalam nada lebih tegas, Araghchi turut memberi bayangan Iran hanya akan mempertimbangkan untuk melonggarkan kawalan ketenteraan di Selat Hormuz sekiranya serangan dan tekanan daripada AS serta Israel dihentikan sepenuhnya.
“Apabila perang dan pencerobohan terhadap Iran dihentikan, kami akan memastikan keselamatan pelayaran untuk semua kapal dapat dijamin,” katanya.
Sejak konflik memuncak, tentera laut Iran memperketat kawalan di Selat Hormuz yang menjadi laluan penting kepada hampir satu perlima perdagangan minyak dunia.
Ketegangan itu menyebabkan banyak syarikat perkapalan antarabangsa menghentikan operasi atau mengubah laluan bagi mengelakkan risiko ancaman, pemeriksaan ketat dan kemungkinan serangan di kawasan berkenaan.
Situasi tersebut turut mencetuskan lonjakan mendadak harga minyak mentah dan bahan api global, selain meningkatkan kebimbangan terhadap kestabilan ekonomi dunia.
Walaupun Tehran berulang kali menegaskan Selat Hormuz tidak ditutup secara rasmi, hakikat di lapangan menunjukkan kapal-kapal asing perlu mendapatkan penyelarasan dengan pihak berkuasa Iran sebelum dibenarkan melalui laluan tertentu berhampiran pantai negara itu.
Iran juga dilaporkan mengenakan bayaran tinggi terhadap kapal yang mahu menggunakan koridor pelayaran tersebut, tindakan yang dikritik pakar undang-undang antarabangsa sebagai bertentangan dengan prinsip kebebasan laluan transit maritim.
Dalam perkembangan berkaitan, AS pada pertengahan April lalu memperluaskan sekatan maritim terhadap Iran sebagai usaha mengekang eksport minyak negara itu yang menjadi sumber pendapatan utama Tehran.
Namun Iran menegaskan tekanan ekonomi dan ketenteraan Barat tidak akan memaksa republik Islam itu tunduk, sebaliknya memberi amaran bahawa sebarang ancaman terhadap keselamatan negara akan dibalas melalui kawalan strategik di Selat Hormuz. – BERNAMA-dpa
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L