Oleh Dr. Nurul Nadirah Abu Hasan

“RAIN Rave Water Music Festival 2026” di Bukit Bintang, Kuala Lumpur selama tiga hari dari 30 April hingga 2 Mei 2026 (hari ini), bukan sekadar sebuah acara hiburan bermusim, tetapi berpotensi menjadi petunjuk kepada hala tuju pelancongan Malaysia pada masa hadapan.
Dalam konteks semasa, Malaysia sering berada di tangga teratas sebagai destinasi pelancongan mesra Muslim. Namun, kemunculan festival berskala besar seperti ini mengundang satu persoalan yang lebih mendasar terhadap destinasi pelancongan mesra Muslim.
Adakah kita sedang mengukuhkan jenama tersebut atau secara perlahan-lahan mengubahnya?
Festival tersebut memperlihatkan satu bentuk peralihan dalam pendekatan pelancongan negara, iaitu daripada penekanan kepada “Muslim-friendly tourism” kepada model yang lebih cenderung kepada “mass entertainment tourism”.
Peralihan ini bukanlah sesuatu yang asing dalam landskap pelancongan global. Banyak destinasi memilih untuk mempelbagaikan produk pelancongan mereka demi kekal relevan dan kompetitif.
Namun, bagi Malaysia yang membawa identiti sebagai negara majoriti Muslim, persoalannya menjadi lebih kompleks.
Daya tarikan
Tidak dinafikan, dari sudut ekonomi, penganjuran festival seperti ini menyumbang kepada penjanaan pendapatan, merancakkan aktiviti bandar, serta menarik kehadiran pelancong domestik dan antarabangsa.
Dalam kerangka “event tourism”, ia adalah strategi yang berkesan untuk meningkatkan daya tarikan destinasi. Justeru, isu ini bukan tentang menolak hiburan atau menafikan kepentingan ekonomi.
Namun, dari sudut penjenamaan destinasi, terdapat persoalan yang lebih besar. Malaysia selama ini diposisikan sebagai sebuah destinasi yang bukan sahaja menawarkan kemudahan halal dan mesra Muslim, tetapi suasana yang selari dengan nilai dan norma masyarakat Islam.
Apabila produk pelancongan yang diketengahkan semakin menjurus kepada hiburan tanpa batas yang jelas, maka wujud potensi berlakunya jurang di antara cerita atau naratif yang dipromosikan dengan realiti yang ditawarkan.
Di sinilah timbul kebimbangan tentang kemungkinan berlakunya “identity fragmentation” atau “pemecahan identiti” dalam pelancongan negara.
Dengan kata lain, berlaku pemecahan atau pemisahan kepada beberapa bahagian yang berbeza, bercanggah, atau tidak konsisten dalam konsep pelancongan negara.

Dalam perkaitan ini, adakah wujud pemisahan antara Islamic Tourism Centre (ITC) yang mempromosikan pelancongan berteraskan nilai Islam, dan Tourism Malaysia (TM) yang lebih menekankan pendekatan pasaran massa?
Jika jurang ini melebar, penjenamaan destinasi mungkin tidak lagi bersifat komplementari, sebaliknya berisiko menjadi kompetitif dan bertembung antara satu sama lain.
Perlu ditegaskan bahawa festival seperti ini bukanlah salah secara mutlak, apatah lagi sasaran utamanya khusus kepada pelancong bukan Muslim.
Identiti nasional
Namun, sebagai sebuah negara yang majoriti penduduknya beragama Islam, setiap bentuk pembangunan pelancongan seharusnya mengambil kira implikasi terhadap identiti nasional.
Pelancongan bukan sekadar aktiviti ekonomi, tetapi medium yang mencerminkan nilai, budaya dan jati diri sesebuah negara.
Oleh itu, persoalan yang perlu diteliti kini bukan lagi tentang sama ada festival ini menjana ekonomi kerana hal ini sudah terbukti, atau juga bukan tentang kebimbangan kehilangan pelancong.
Sebaliknya, persoalan yang lebih besar dan penting ialah arah yang ingin kita tuju sebagai sebuah destinasi pelancongan.
Adakah Malaysia ingin terus mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju pelancongan mesra Muslim di peringkat global, atau secara beransur-ansur beralih kepada model pelancongan hiburan massa yang lebih umum sifatnya?
Dan jika kedua-duanya ingin digabungkan, sejauh mana keseimbangan itu mampu dicapai tanpa mengorbankan identiti yang telah lama dibina?
Tidak hilang arah
Mungkin sudah tiba masanya untuk masyarakat beralih daripada sekadar mempersoalkan keperluan program seperti ini, kepada memikirkan bagaimana ia boleh dirangka dengan lebih bertanggungjawab dan selari dengan nilai tempatan.
Hal ini termasuklah memastikan elemen kawalan, kesesuaian budaya, serta penyediaan kemudahan yang mencerminkan identiti mesra Muslim tidak diketepikan.
Akhirnya, pelancongan bukan hanya tentang menarik kedatangan pelawat, tetapi tentang mesej yang kita sampaikan kepada dunia. Dalam usaha mengejar pertumbuhan ekonomi, kita perlu berhati-hati agar tidak kehilangan arah.
Hal ini kerana, pemeliharaan identiti dan jati diri yang jelas dan konsisten adalah kekuatan sebenar sesebuah destinasi dalam jangka panjang.
Dr. Nurul Nadirah Abu Hasan ialah Pensyarah Pengurusan dan Pelancongan, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia, Nilai, Negeri Sembilan.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L