Polis sahkan satu lagi kejadian warga asing maut jatuh di KLIA Terminal 2

PUTRAJAYA – Polis mengesahkan satu lagi kejadian warga asing maut akibat jatuh di Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA T2), malam tadi.

Ketua Polis Daerah KLIA, ACP M. Ravi berkata, dalam kejadian jam 9.10 malam itu, seorang lelaki warga Algeria berusia 30 tahun, dipercayai terjatuh dari kawasan luar balkoni terminal berkenaan.

Beliau berkata, pasukan perubatan telah memberikan rawatan kecemasan di lokasi kejadian, sebelum mangsa dibawa ke Hospital Cyberjaya untuk rawatan lanjut.

“Bagaimanapun, sekitar jam 2.55 pagi tadi, pihak hospital mengesahkan lelaki berkenaan telah meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kes diklasifikasikan sebagai Laporan Kematian Mengejut (SDR) dan punca kejadian masih disiasat.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah KLIA menerusi talian 03-8776 8222 bagi membantu siasatan.

Sementara itu,polis turut mengesahkan seorang wanita warga China maut selepas terjatuh dari Aras 3, Terminal 2 (T2) KLIA dalam kejadian yang tular di media sosial semalam.

ACP M. Ravi dalam kenyataan berkata, kejadian itu berlaku pada jam 2.20 petang.

Katanya, pasukan perubatan yang tiba di lokasi telah memberikan rawatan kecemasan sebelum mangsa disahkan meninggal dunia pada jam 5.09 petang di Hospital Putrajaya ketika mendapat rawatan lanjut.

Semakan mendapati wanita berusia 27 tahun itu dijadualkan menaiki penerbangan pulang ke China hari ini dan kes diklasifikasikan sebagai laporan kematian mengejut (SDR) serta punca kejadian masih dalam siasatan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah KLIA di talian 03-8776 8222 bagi membantu siasatan. – BERNAMA

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *