OKU Pekak Masih Sukar Akses Agama

Oleh: NurFarhana Zulkeply

NILAI –Akses pendidikan Islam bagi komuniti Orang Kurang Upaya (OKU) pekak di Malaysia masih belum menyeluruh, meskipun pelbagai inisiatif diperkenalkan bagi memperkasa golongan itu.

Pengarah Program Kursus Dakwah Tanpa Suara (KDTS), Mohammad Sofiy Rahman Khairul Azhar, berkata tahap inklusiviti masyarakat dalam aspek agama masih rendah.

“Masih ramai yang tidak jelas tujuan kursus ini diwujudkan, malah ada yang keliru membezakan antara individu pekak dan bisu,” katanya.

Situasi itu mencerminkan jurang pemahaman masyarakat terhadap keperluan komuniti tersebut.

Sebagai respons, mahasiswa Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) memperkenalkan KDTS sejak 2015 bagi membantu komuniti pekak mengakses ilmu agama melalui bahasa isyarat.

Presiden Sahabat Faqeh (SaF), Khairul Amri Mustapakama, berkata kekangan komunikasi menjadi cabaran utama.

“Kami masih tidak mahir berkomunikasi dengan mereka, selain perbezaan loghat yang menjejaskan kefahaman,” katanya.

Beliau berkata latihan berterusan dan penglibatan jurubahasa isyarat profesional diperlukan bagi memperkukuh penyampaian dakwah.

Di peringkat nasional, Pelan Tindakan Agensi Agama Bagi OKU Muslim 2024–2028 dilancarkan bagi memperkasa komuniti tersebut, namun pemantauan berterusan diperlukan untuk memastikan pelaksanaannya benar-benar inklusif.

Penganjur berharap usaha seperti KDTS dapat diperluaskan bagi meningkatkan kefahaman masyarakat serta memastikan komuniti OKU pekak memperoleh akses pendidikan agama yang lebih setara pada masa hadapan.

NurFarhana Zulkeply adalah pelajar Sarjana Muda Komunikasi Dengan Kepujian dari USIM yang sedang menjalani Latihan Industri di NasionalDaily

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *