Hamzah Undur Ketua Pembangkang, PN Sedia Umum Pengganti Baharu

KUALA TERENGGANU – Kedudukan status jawatan Ketua Pembangkang terjawab apabila Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar mengesahkan Datuk Seri Hamzah Zainuddin tidak lagi memegang peranan tersebut.

Menurut Ahmad Samsuri, susulan peletakan jawatan itu, beliau telah mengarahkan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan untuk mengemukakan surat rasmi kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat bagi memaklumkan kekosongan jawatan itu.

“Saya rasa esok (Isnin) surat itu akan dihantar memandangkan hari ini merupakan hari cuti. Ia melibatkan pemakluman kekosongan jawatan Ketua Pembangkang buat masa ini.

“Apabila kita hantar surat menyatakan berlaku kekosongan, maka secara automatik jawatan itu dikosongkan. Datuk Seri Hamzah Zainuddin bukan lagi Ketua Pembangkang,” katanya menerusi rakaman video di media sosial pada Ahad.

Mengulas mengenai kemelut yang timbul sebelum ini, Ahmad Samsuri menjelaskan keadaan tersebut berlaku berkemungkinan kerana jawatan berkenaan masih mempunyai penyandang.

Bagaimanapun, beliau menegaskan gabungan itu kini mempunyai strategi tertentu untuk bergerak dalam kapasiti parti komponen memandangkan Dewan Rakyat masih belum bersidang.

“Kita akan mempunyai Ketua Pembangkang yang baharu menjelang sidang Dewan Rakyat pada Jun ini,” jelas beliau.

Menurut takwim Dewan Rakyat, mesyuarat kedua bagi penggal kelima Parlimen ke-15 akan bersidang mulai 22 Jun hingga 16 Julai.

Dalam pada itu, ditanya mengenai tuntutan Pas Johor agar jawatan tersebut diberikan kepada pemimpin Pas memandangkan sebelum ini ia diisi oleh wakil Bersatu, Ahmad Samsuri menyifatkan ia sebagai satu perkara yang lumrah dalam politik.

“Kalau kita tanya 10 orang, mungkin ada 10 jawapan berbeza. Biasalah, masing-masing mempunyai hasrat terhadap kepimpinan. Apa pun, kita mendengar semua pandangan dan akan berbincang mengenainya,” katanya lagi.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Samsuri menyatakan sokongan PN terhadap cadangan pewujudan Akta Pendanaan Politik yang telah disuarakan sejak awal.

Beliau bagaimanapun menekankan agar kerajaan mengadakan sesi libat urus dengan semua parti politik, termasuk yang tidak mempunyai wakil di Parlimen, sebelum kerangka akta tersebut dimuktamadkan.

“Kita cari yang terbaik, bukan hendak mengejar masa. Kita mahu apabila ia dibentangkan di Parlimen nanti, ia akan diluluskan dengan tenang.

“Ini bagi mengelakkan ia menerima nasib sama seperti cadangan akta sebelum ini yang ditolak di peringkat Parlimen,” ujar beliau.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *