KOTA BHARU – Institut Silat Seni Gayong (ISG) Malaysia menjadi institusi pertama di negara ini yang menerima pentauliahan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) bagi program latihan seni bela diri berasaskan silat gayong.
Ketua Pengarah JPK, Dr Kamaruzaman Md Ali berkata pentauliahan itu diberikan kepada Pusat Pengajian ISG Malaysia dan rakan industrinya, Amru Ventures, bagi melaksanakan program pensijilan kemahiran menerusi pendekatan Akademi Dalam Industri (ADI).
Beliau berkata menerusi pendekatan itu kira-kira 20 hingga 30 peratus latihan dilaksanakan di institusi, manakala 70 hingga 80 peratus lagi dijalankan dalam persekitaran industri sebenar.
“Dalam konteks ini, ISG Malaysia akan melaksanakan latihan di institusi, manakala Amru Ventures mengendalikan komponen latihan industri dengan fokus kepada bidang seni bela diri khususnya silat gayong,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Sijil Pentauliahan ADI kepada Pusat Pengajian ISG Malaysia dan Amru Ventures, Kok Lanas, di sini hari ini.
Menurutnya pentauliahan itu menjadikan silat gayong sebagai seni pertahanan diri pertama yang distrukturkan mengikut Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (NOSS) di bawah sistem persijilan JPK.
“Sebelum ini belum ada institusi latihan yang memohon pensijilan rasmi bagi program seni bela diri mengikut struktur NOSS, walaupun kurikulum asas sedia ada telah wujud dalam pelbagai disiplin seperti silat, karate dan taekwondo.
“Bagi memastikan kelulusan pentauliahan, empat aspek utama dinilai iaitu premis latihan, tenaga pengajar, kurikulum berstruktur termasuk penilaian serta peralatan latihan,” katanya.
Menurutnya pensijilan JPK memberi nilai tambah kerana diiktiraf di peringkat kebangsaan, berbanding sijil hanya dikeluarkan oleh persatuan semata-mata, tetapi juga sijil rasmi JPK yang mempunyai nilai dalam pasaran pekerjaan.
Tambah beliau, pelaksanaan program itu dijangka membuka peluang kerjaya kepada pelatih sama ada sebagai jurulatih, pengajar atau profesional dalam industri kecergasan dan keselamatan.
Sementara itu, Pengarah ISG Malaysia, Muhamad Amru Rusli berkata penubuhan pusat bertauliah itu bukanlah baru, tetapi sebagai generasi penerus hasrat Mahaguru, Datuk Meor Abdul Rahman Daeng Uda Mohd Hashim meletakkan silat gayong menjadi pengiktirafan di peringkat Malaysia dan antarabangsa, selain rakan strategik ISG iaitu Briged Gayong Malaysia, menerusi Pengarah Pusat Kokurikulum Universiti Malaysia Kelantan, Dr Razman Hafifi Redzuan.
“Penubuhan institut berkenaan memberi ruang kepada latihan silat dilaksanakan secara lebih tersusun dan berstandard tinggi.
“Kewujudan ISG membolehkan kemahiran seni bela diri, khususnya silat gayong, dipelajari secara sistematik dengan gabungan latihan teori dan praktikal.
“Melalui kerjasama ini, pelatih akan menjalani latihan selama dua tahun dengan penekanan lebih besar kepada pengalaman industri bagi memastikan mereka benar-benar kompeten,” katanya.
Muhammad Amru berkata, usaha itu juga membuka laluan kepada lebih banyak disiplin seni bela diri lain untuk distrukturkan dan diiktiraf di bawah sistem TVET negara.
Katanya, langkah tersebut penting dalam memastikan bidang seni pertahanan diri tidak hanya dilihat sebagai warisan budaya, tetapi juga sebagai kerjaya profesional yang berdaya saing. – Sumber IMedikel TV
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L