Dari Meja Editorial
DUNIA hari ini bukan lagi dunia tahun 1914 atau 1939. Kita bukan hidup dalam era kapal perang berasap arang batu atau tentera berbaris dengan senapang usang. Ini zaman satelit, kecerdasan buatan, diplomasi digital. Zaman yang kononnya sudah matang dan bertamadun.
Tetapi anehnya, pemimpin dunia masih berfikir seperti abad lalu, malah lebih teruk, kerana mereka berperang dengan senjata moden, tetapi akal masih primitif.
Lihat sahaja apa yang berlaku di Asia Barat hari ini. Peperangan yang dicetuskan Amerika Syarikat (Donald Trump) dan Israel (Benjamin Netanyahu) ke atas Iran bukan lagi sekadar ketegangan biasa.
Ia sudah menjadi konflik terbuka yang mengorbankan ribuan nyawa, memusnahkan infrastruktur dan menggoncang kestabilan dunia. Serangan besar-besaran oleh Amerika Syarikat dan Israel terhadap Iran sejak Februari 2026 telah mencetuskan tindak balas balas berupa peluru berpandu dan dron yang terus memakan korban di kedua-dua pihak.
Inilah wajah sebenar “kepimpinan moden”

Mereka bercakap tentang keamanan di pentas dunia, tetapi tangan mereka menekan butang pelancar peluru. Mereka berbincang tentang hak asasi manusia, tetapi dalam masa yang sama membiarkan bandar-bandar musnah dan rakyat menjadi pelarian.
Lebih ironik, keputusan untuk berperang sering dibuat di bilik berhawa dingin, jauh daripada bunyi letupan, jauh daripada tangisan ibu kehilangan anak, jauh daripada mayat yang bergelimpangan.
Pemimpin duduk selesa. Rakyat yang terseksa
Ada yang mengatakan, ini soal keselamatan, soal ancaman nuklear, soal geopolitik. Baik – itu hujah klasik. Tetapi sampai bila alasan itu mahu digunakan untuk menghalalkan pertumpahan darah?
Dunia sudah ada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), ada saluran diplomasi, ada rundingan damai. Malah, dalam konflik ini sendiri, cadangan gencatan senjata telah dikemukakan, namun terus dipolitikkan dan ditolak kerana syarat yang berat sebelah.
Akhirnya, siapa yang rugi?
Bukan pemimpin.
Rakyat biasa.

Di Iran, di Israel, di Lebanon, rumah hancur, ekonomi lumpuh, kehidupan musnah. Lebih sejuta manusia terpaksa meninggalkan tempat tinggal akibat serangan yang semakin meluas.
Kanak-kanak kehilangan masa depan sebelum sempat memahami dunia. Tentera muda pula dihantar ke medan perang, meninggalkan keluarga, mungkin untuk tidak kembali lagi.
Dan dunia? Dunia hanya melihat, kadang bersuara, seringkali membisu.
Lebih menyedihkan, peperangan ini bukan sahaja memusnahkan rantau tersebut, tetapi turut memberi kesan kepada seluruh dunia. Laluan minyak terganggu, ekonomi global terjejas, harga tenaga melonjak. Negara-negara lain yang tidak terlibat pun terpaksa menanggung akibatnya.
Ini bukan lagi konflik serantau. Ini adalah kegagalan moral global.
Persoalannya mudah: jika pemimpin benar-benar yakin dengan keputusan mereka untuk berperang, mengapa mereka tidak turun sendiri ke medan? Mengapa tidak mereka sendiri yang mengangkat senjata, merasai ketakutan, kelaparan dan kehilangan?
Jawapannya juga mudah: kerana mereka tahu harga sebenar peperangan.
Dan harga itu terlalu mahal untuk mereka tanggung sendiri.
Sebab itu mereka “membayar” dengan nyawa rakyat.
Inilah sikap pemimpin yang tidak bertamadun. Bukan kerana mereka tidak tahu, tetapi kerana mereka tidak peduli. Mereka lebih ghairah mengejar pengaruh, kuasa dan legasi politik daripada menjaga amanah terhadap rakyat.
Sedangkan hakikatnya, dunia hari ini tidak memerlukan pemimpin yang berani berperang.
Dunia memerlukan pemimpin yang berani berhenti berperang.
Kerana keberanian sebenar bukan pada menekan picu senjata, tetapi pada menahan diri daripada menggunakannya.
Jika tidak, kita sebenarnya tidak pernah bergerak ke hadapan sebagai tamadun. Kita hanya menukar senjata lama dengan senjata yang lebih canggih, tetapi tetap membunuh dengan cara yang sama.
Dan sejarah akan terus berulang, dengan rakyat sebagai korban dan pemimpin sebagai dalang yang tidak pernah belajar. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L