Rumah Terbuka Aidilfitri DUN Gual Periok Meriah, Eratkan Silaturahim

Oleh: Abd. Ghaffar Daud

RANTAU PANJANG – Suasana penuh meriah dan harmoni jelas dirasai apabila orang ramai membanjiri Rumah Terbuka Aidilfitri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gual Periok di Pusat Khidmat DUN Gual Periok, di sini, hari ini.

Majlis bermula jam 12 tengah hari hingga 3 petang itu menghimpunkan pelbagai lapisan masyarakat termasuk penduduk setempat, sahabat handai serta tetamu dari kawasan sekitar bagi bersama meraikan sambutan Aidilfitri.

Majlis tersebut turut dihadiri mantan ADUN Gual Periok, Datuk Paduka Mohamad Awang bersama isteri, selain kehadiran wakil pelbagai agensi kerajaan sekitar Rantau Panjang.

ADUN Gual Periok, Kamaruzaman Mohamad berkata, penganjuran rumah terbuka ini bertujuan mengeratkan hubungan silaturahim antara pemimpin dan masyarakat, di samping menyemarakkan semangat perpaduan dalam suasana Syawal.

“Majlis seperti ini memberi ruang kepada kita semua untuk saling bermaaf-maafan, bertemu mesra serta mengukuhkan ukhuwah tanpa mengira latar belakang,” katanya.

Pengunjung yang hadir turut dihidangkan dengan pelbagai juadah menarik termasuk hidangan istimewa kambing bakar yang menjadi tarikan utama tetamu.

Di kesempatan itu juga, Kamaruzaman tidak melepaskan peluang menyampaikan duit raya kepada kanak-kanak yang hadir, sekali gus menambahkan lagi keceriaan suasana sambutan.

Sementara itu, Pengarah program merangkap Yang Dipertua PIBG Sekolah Rendah Ugama (Arab) Tarbiah Islamiah Lubok Gong, Azman Makhtar berkata, pihaknya amat berbesar hati dengan sambutan diberikan oleh masyarakat terhadap majlis tersebut.

“Di kesempatan ini, saya ingin menjemput para hadirin untuk hadir ke Majlis Jamuan Laksa pada 26 Mac ini di Sekolah Rendah Ugama (Arab) Tarbiah Islamiah Lubok Gong, dekat sini.

Majlis ini juga bertujuan mengumpul dana bagi projek tambung tanah padang sekolah.

“Sumbangan juga boleh disalurkan terus ke akaun Bank Islam 030810020621 atas nama JPKS Sek Ren Ugama (A) Tarbiah Islamiah. Sokongan semua amat kami hargai demi kemudahan anak-anak kita,” katanya.

Rata-rata tetamu yang ditemui melahirkan rasa gembira dan teruja kerana dapat berkumpul serta beramah mesra dalam suasana penuh kekeluargaan.

Majlis berakhir dalam suasana ceria dan diharapkan penganjuran seumpama ini dapat diteruskan pada masa akan datang bagi memupuk semangat kebersamaan dalam kalangan masyarakat.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *