KOTA KINABALU – Majlis Penasihat Pengguna Negara (MPPN) menyatakan sokongan penuh terhadap pelaksanaan Akta Sewa Beli (Pindaan) 2026 yang diumumkan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali.
Pengerusinya, Mohd Khair Ngadiron berkata, langkah itu adalah satu reformasi penting dalam memperkukuh kerangka perlindungan pengguna khususnya dalam sektor kredit pengguna di Malaysia.
Katanya, pindaan itu juga merupakan reformasi signifikan yang akan memberikan manfaat kepada pengguna melalui pemansuhan penggunaan kadar faedah tetap sama rata (flat rate) dan Peraturan 78 (Rule of 78) serta penggantian kepada Kadar Faedah Efektif (Effective Interest Rate) dan Kaedah Pengurangan Baki (Reducing Balance Method).
“Pendekatan baharu ini akan memastikan pengiraan faedah yang lebih telus, adil dan mencerminkan baki pinjaman sebenar, khususnya bagi pengguna yang hendak membuat penyelesaian awal pinjaman.
“Di samping itu, MPPN turut menyokong usaha pemodenan urusan perjanjian sewa beli melalui penggunaan teknologi seperti tandatangan digital dan tandatangan elektronik, yang dijangka meningkatkan kecekapan proses perjanjian serta mengurangkan risiko penipuan melalui proses pengesahan identiti peminjam.
“Kita juga berpandangan sekiranya keadaan industri mengizinkan, penguatkuasaan akta ini lebih awal daripada tarikh ditetapkan adalah wajar dipertimbangkan bagi membolehkan pengguna menikmati manfaat reformasi ini dengan lebih segera, khususnya dari segi ketelusan pengiraan faedah dan keadilan dalam penyelesaian awal pinjaman,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas sambutan Hari Pengguna Kebangsaan 2026 di sini, hari ini.
Menurut Mohd Khair, MPPN mengambil maklum tempoh peralihan diberikan kepada pihak industri bagi membolehkan mereka menyesuaikan sistem, dokumentasi dan proses operasi selaras dengan keperluan baharu yang diperkenalkan.

Ujarnya, MPPN juga turut mengambil maklum kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkaitan perkembangan konflik di Timur Tengah yang melibatkan Israel, Amerika Syarikat dan Iran.
“Ketidaktentuan geopolitik ini berpotensi memberi tekanan kepada harga komoditi global, rantaian bekalan serta kos sara hidup yang akhirnya memberi kesan langsung kepada kesejahteraan pengguna.
“MPPN menegaskan kepentingan pemantauan harga dan amalan perniagaan beretika, di samping menyeru pengguna untuk tampil sebagai pengguna yang bijak, peka terhadap hak mereka serta berhemah dalam membuat keputusan perbelanjaan.
“Selaras dengan tema Hari Pengguna Kebangsaan 2026, “Suara Kita, Kuasa Kita”, MPPN menyeru semua pengguna terus meningkatkan kesedaran terhadap hak mereka sebagai pengguna serta memainkan peranan aktif dalam memperkukuh budaya kepenggunaan yang bertanggungjawab dan beretika,” katanya.
Kata beliau, MPPN komited terus memainkan peranan sebagai badan penasihat kepada kerajaan dalam memperkukuh dasar dan perundangan berkaitan kepenggunaan demi memastikan hak serta kepentingan pengguna sentiasa terpelihara.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L