Eko-Pelancongan Tepi Sungai Pacu Ekonomi Pahang

Oleh: Profesor Dr Mohd Yahya Mohamed Ariffin

BELANJAWAN 2026 yang memperuntukan kira-kira RM700 juta bagi memperkukuh sektor pelancongan Malaysia sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026), mencerminkan komitmen serius kerajaan dalam merancakkan industri tersebut.

Daripada jumlah itu, lebih RM500 juta diperuntukkan bagi tujuan promosi, kempen dan pemasaran di dalam dan luar negara.

Inisiatif ini tentunya memerlukan strategi komunikasi dan penggunaan media secara berkesan bagi memperkukuh imej negara serta menarik lebih ramai pelancong, khususnya dari luar negara untuk berkunjung ke Malaysia.

Tahun ini negara dijangka menyambut 47 juta pelancong antarabangsa serta menjana hasil sebanyak RM329 bilion, sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai salah satu destinasi pelancongan paling dinamik dan berdaya maju di Asia.

Eko-pelancongan penjana ekonomi

Fokus tulisan ini adalah berkaitan aspek penjanaan ekonomi tempatan khususnya di Pahang yang dilihat membuka peluang seluasnya kepada pengusaha berkaitan industri eko-pelancongan.

Eko-pelancongan bermaksud pelancongan yang berasaskan sumber dan pemeliharaan alam semula jadi yang melibatkan aktiviti pelancongan di kawasan hutan tropika, pantai, atau sungai dengan tujuan menikmati keindahan alam serta memulihara persekitaran tersebut.

Pada tahun ini Pahang dipilih sebagai destinasi utama negara bagi pelancongan alam semula jadi dan eko-pelancongan sempena VM2026 dengan menyasarkan 15 juta pelancong tempatan dan antarabangsa.

Hal ini selari dengan potensi besar negeri itu sebagai destinasi eko-pelancongan utama negara (facebook.com/tourismpahang).

Tambahan pula sungai terpanjang di Semenanjung Malaysia, Sungai Pahang yang mengalir sepanjang 459 kilometer dari Banjaran Titiwangsa hingga ke Laut China Selatan melalui bandar seperti Temerloh, Jerantut dan Pekan menjadi aset semula jadi yang berpotensi besar sebagai destinasi eko-pelancongan berasaskan sungai.

Salah satu aktiviti yang boleh menjana ekonomi berasaskan eko-pelancongan adalah yang berkonsepkan restoran terapung di atas sungai atau “river café”.

Konsep ini memberi peluang kepada pengunjung untuk menikmati makanan sambil menghayati keindahan semula jadi sungai dan persekitaran yang menarik.

Hal ini selari dengan hasrat kerajaan Negeri Pahang yang melihat Sungai Pahang mempunyai potensi besar untuk dibangunkan sebagai destinasi eko-pelancongan berasaskan sungai.

Lazimnya, ia merangkumi restoran terapung, kafe tepi sungai, jeti kecil untuk bot pelancong serta kawasan rekreasi, di samping mengekalkan keindahan semula jadi sungai melalui konsep “Pelancongan Tepi Sungai” atau riverfront tourism.

Restoran terapung

Melihat kepada potensi yang ada, maka pihak “A River Café” (ARC) telah membangunkan restoran terapung di Temerloh dengan memanfaatkan keindahan tebing sungai, sekali gus berpotensi menjadi destinasi eko-pelancongan yang selesa serta ruang rekreasi yang mampu menenangkan diri dan merehatkan minda.

Pemilik ARC, Datin Indera Dr Anisa Saleha Nunuh Saleh berkata, premis yang beroperasi di Kampung Tebal, Seberang Temerloh itu menyediakan pelbagai kemudahan untuk keselesaan pengunjung, termasuk restoran terapung, inap desa, surau serta jeti.

Kewujudan ARC dilihat memberi manfaat kepada pelbagai pihak seperti peluang ekonomi dan pekerjaan untuk masyarakat setempat, di samping penjagaan alam sekitar dan pengindahan sungai dan kampung tersebut.

Menurut beliau, sepanjang enam bulan beroperasi, ARC memberi impak positif dalam pelbagai aspek termasuk ekonomi, sosial dan alam sekitar setempat hasil kehadiran pengunjung daripada pelbagai latar belakang dan kaum.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Ampuan Pahang, Tuanku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut berkenan berangkat ke ARC bagi menikmati suasana persekitaran di premis berkenaan.

Penulis berpandangan model “A River Café” ini boleh dijadikan inspirasi kepada pengusaha dan bakal pengusaha restoran terapung untuk menjalankan perniagaan berasaskan eko-pelancongan tanpa mengabaikan aspek pemeliharaan serta keindahan alam sekitar dalam operasi premis mereka.

Penjanaan pendapatan dan latihan

Operasi ARC membuka peluang pekerjaan kepada 35 belia tempatan dalam pelbagai tugas seperti kulinari, pemasaran, staf barisan hadapan dan cef.

“Saya turut membuka ruang kepada masyarakat setempat, khususnya pengusaha gerai dan penduduk kampung, untuk menjana pendapatan dengan membekalkan produk makanan kepada ARC bagi tujuan jualan.”

Di samping itu, ARC turut menyediakan latihan industri kepada mahasiswa dari institusi pengajian tinggi tempatan dalam bidang kulinari dan perniagaan, katanya.

Tanggungjawab sosial korporat

Pihak ARC tidak melupakan aspek tanggungjawab sosial korporat kepada masyarakat setempat. Mereka mengadakan program berbentuk pendidikan melalui Program Kampung Akademik Temerloh (PAKAT).

Beliau menambah, program itu dijalankan dari semasa ke semasa dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bagi meningkatkan kecemerlangan pendidikan dalam kalangan pelajar miskin dan anak yatim di Temerloh.

Dapat dirumuskan, operasi ARC memberi manfaat dari segi eko-pelancongan termasuk pemeliharaan keindahan sungai, kebersihan, serta pemeliharaan kawasan persekitaran.

Malah, projek seumpama ini berpotensi menjadi destinasi eko-pelancongan yang menarik serta menyumbang kepada pembangunan ekonomi komuniti setempat, tanpa mengetepikan tanggungjawab sosial korporat terhadap masyarakat setempat.

Justeru, konsep ini sesuai dijadikan model pembangunan yang boleh diterapkan di kawasan tepi Sungai Pahang, seterusnya membantu negeri itu sebagai destinasi eko-pelancongan utama negara.

Profesor Dr Mohd Yahya Mohamed Ariffin ialah Presiden Persatuan Pendidikan Komunikasi Malaysia (MACE) dan Profesor, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, Negeri Sembilan.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *