Islamic Resistance mengaku tembak jatuh pesawat tentera AS di Iraq

WASHINGTON – Islamic Resistance di Iraq yang juga kumpulan payung kepada pejuang bersenjata disokong Iran, mengaku bertanggungjawab menembak jatuh sebuah pesawat pengisi minyak milik tentera Amerika Syarikat (AS) di barat Iraq, semalam.

REUTERS melaporkan kumpulan berkenaan dalam satu kenyataan menegaskan, pihaknya menembak jatuh pesawat KC-135 itu ‘demi mempertahankan ruang udara serta kedaulatan negara’ mereka.

Sementara itu, Markas Pemerintah Pusat AS (CENTCOM) mendakwa, pesawat berkenaan terhempas, tetapi bukan akibat tembakan pihak musuh atau rakan sekutu, dalam insiden di barat Iraq yang turut membabitkan sebuah lagi pesawat milik tentera AS.

Menurut CENTCOM dalam satu kenyataan, pihaknya melancarkan usaha mencari dan menyelamat selepas pesawat KC-135 berkenaan terhempas, manakala pesawat kedua berjaya mendarat dengan selamat.

Katanya, insiden berlaku di ‘ruang udara mesra’ ketika Operasi Epic Fury – operasi ketenteraan ke atas Iran – dijalankan.

Seorang pegawai AS yang enggan dinamakan pula berkata, sebuah lagi pesawat yang terbabit dalam kejadian itu juga adalah KC-135.

“Pesawat yang terhempas itu membawa seramai enam anggota tentera,” katanya.

Kejadian itu berlaku pada hari sama dua pelaut AS dilaporkan cedera apabila kapal USS Gerald Ford mengalami kebakaran bukan berkait pertempuran.

KC-135 memainkan peranan sebagai tunjang pesawat pengisi bahan api di udara bagi tentera AS, yang mana ia amat penting bagi membolehkan pesawat terus melaksanakan misi tanpa perlu mendarat.

Sejak AS dan Israel melancarkan serangan ke atas Iran pada 28 Februari lalu, tujuh anggota tentera AS direkodkan terbunuh.

Pada Selasa lalu, REUTERS melaporkan seramai 150 anggota tentera AS telah cedera dalam perang itu.

Terdahulu, BERNAMA-ANADOLU melaporkan Iran hari ini mendakwa, sebuah pesawat pengisi bahan api milik AS ditembak jatuh di barat Iraq dengan semua krunya terbunuh.

Stesen televisyen Iran yang memetik jurucakap Khatam al-Anbiya, iaitu ibu pejabat tentera berkait dengan Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC), melaporkan pesawat terbabit diserang peluru berpandu dilancarkan oleh ‘kumpulan penentang’ yang menyebabkannya terhempas.

Jurucakap itu mendakwa, pesawat berkenaan milik tentera AS dan semua kru di dalamnya maut.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *