Oleh: Norashikin Shariffuddin
SEREMBAN – Siapa sangka, di sebalik barisan pensyarah undang-undang yang biasanya sibuk dengan timbunan kanun dan rujukan kes, tersimpan bakat “chef” yang tidak kurang hebatnya.
Suasana di Masjid Kariah Rasah Jaya, dekat sini, berubah meriah apabila warga akademik dari Jabatan Undang-Undang (JUU) UiTM Cawangan Negeri Sembilan Kampus Seremban menyinsing lengan menjayakan program CSR bertajuk #FUUSantuniKomuniti: Ramadan Dirai, Hibah Dikongsi, Faraid Difahami.
Keunikan program tahun ini terserlah menerusi aktiviti penyediaan bubur lambuk yang dilakukan secara gotong-royong seawal jam 9 pagi.

Menariknya, periuk besar juadah ikonik Ramadan itu dimasak sendiri oleh Pengerusi Masjid, Jafri Muskiman dengan dibantu barisan jawatankuasa masjid serta sembilan pensyarah undang-undang yang diketuai Pengarah program, Mohd Syahril Ibrahim.
Gandingan antara pakar akademik dan pemimpin komuniti ini mempamerkan sisi santai warga universiti yang sanggup mengetepikan seketika status profesional demi memasak bubur lambuk bersama para jemaah.
Sebanyak 350 bekas bubur lambuk disiapkan hasil resipi istimewa dan semangat “rewang” yang tinggi untuk diagihkan kepada komuniti sekitar.
Inisiatif ini membawa objektif murni yang melangkaui aktiviti memasak iaitu menyemai keprihatinan – memupuk semangat tanggungjawab sosial dalam kalangan warga JUU UiTMNS Kampus Seremban.
Objektif lain ialah mengimarahkan Ramadan iaitu perkongsian rezeki menerusi penyediaan dan pengagihan bubur lambuk kepada kariah masjid serta memperkukuh hubungan dengan menjadikan masjid sebagai pusat pembangunan komuniti strategik antara UiTM dan masyarakat setempat.
Kelainan utama program CSR ini adalah pengisian “hidangan minda” yang dibawakan khas untuk komuniti setempat.

Satu sesi ceramah ilmiah mengenai kepentingan perancangan harta pusaka telah disampaikan oleh Koordinator Prasiswazah Fakulti Undang-undang, UiTMNS Kampus Seremban yang juga pakar dalam bidang Pengurusan Harta Orang Islam, Dr. Amylia Fuziana Azmi.
“Kami ingin mendekati komuniti melalui pendekatan santai. Sambil berkongsi bubur lambuk, kita juga berkongsi ilmu yang sangat kritikal bagi menjamin masa depan waris dan keluarga,” kata Dr. Amylia.
Inisiatif ini, katanya, antara lain bertujuan memberi kesedaran awal kepada jemaah mengenai isu hibah dan faraid yang sering disalahfahami.
Kemuncak program diserikan dengan majlis perasmian dan sesi penyerahan sumbangan kepada golongan asnaf.
Dalam suasana penuh mahabbah, Mohd Syahril mengiringi Dr. Amylia Fuziana untuk menyampaikan sumbangan Ramadan daripada pihak Jabatan Undang-Undang kepada wakil pihak masjid, Jafri untuk disalurkan kepada golongan asnaf yang terpilih.
Selain sumbangan kewangan, cenderamata turut disampaikan kepada barisan jawatankuasa masjid sebagai tanda penghargaan atas kerjasama erat yang diberikan.
Program diakhiri dengan solat Maghrib berjemaah dan santapan berbuka puasa, membuktikan sinergi ilmu dan amal mampu memberikan impak luar biasa kepada masyarakat.
Norashikin Shariffuddin, Pensyarah Kanan, Jabatan Undang-undang UiTM Cawangan Negeri Sembilan Kampus Seremban
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L