SUNGAI PETANI – Seorang lelaki ditemui maut dengan kesan tetakan di kepala dan badan, manakala adik perempuannya cedera parah dalam satu kejadian di hadapan sebuah rumah di Taman Kempas, awal pagi ini.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Hanyan Ramlan berkata, kejadian dipercayai berlaku antara jam 12 tengah malam hingga 2 pagi.
Menurutnya, mangsa lelaki berusia 20-an ditemui berlumuran darah sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Siasatan awal mendapati mangsa dipercayai ditetak berulang kali menggunakan senjata tajam sehingga menyebabkan kematian,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, adik perempuan mangsa turut mengalami kecederaan serius dengan tangan hampir putus dan kini menerima rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH).
Katanya, beberapa senjata tajam turut ditemui di lokasi kejadian dan telah dirampas bagi membantu siasatan.
Susulan kejadian itu, polis menahan tiga individu iaitu dua lelaki dan seorang wanita bagi membantu siasatan. Hubungan antara suspek dan mangsa masih dalam penelitian polis, manakala seorang suspek lelaki dilaporkan tinggal di kawasan perumahan yang sama dengan mangsa.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh serta Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan menggunakan senjata berbahaya.
Ketiga-tiga suspek akan dibawa ke mahkamah bagi permohonan reman untuk membantu siasatan lanjut.
Mayat mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik HSAH untuk bedah siasat, sementara siasatan lanjut masih dijalankan pihak polis.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L