IPOH – Seorang pelajar kolej maut selepas mengalami kecederaan parah pada leher dalam satu kejadian di Teluk Intan pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Bakri Zainal Abidin berkata, pihaknya menerima laporan berhubung insiden tersebut dan mangsa yang berusia 18 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan dialami.
Menurutnya, seorang lagi mangsa yang juga pelajar kolej berusia 17 tahun serta rakan kepada si mati turut cedera di tangan dan kini menerima rawatan lanjut di hospital.
“Hasil siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku apabila sebilah sabit berhulu panjang yang dibawa oleh seorang lelaki terkena pada bahagian leher mangsa ketika kedua-dua motosikal berada berhampiran antara satu sama lain di atas jalan,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Beliau berkata, kejadian itu menyebabkan mangsa terjatuh dari motosikal sebelum disahkan meninggal dunia.
Susulan insiden berkenaan, polis menahan dua lelaki warga asing masing-masing berusia 39 dan 52 tahun bagi membantu siasatan.
Polis turut merampas beberapa barangan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian tersebut, termasuk sebilah sabit berhulu panjang serta sebuah motosikal.
Kes disiasat mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian tanpa niat membunuh.
Kedua-dua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Teluk Intan bagi permohonan reman untuk membantu siasatan lanjut.
Orang ramai turut dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan pihak polis.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L