KUALA LUMPUR – Ketika Perikatan Nasional (PN) cuba menampilkan imej sebagai alternatif kukuh kepada kerajaan, suara dari dalam sendiri kini membongkar apa yang didakwa sebagai krisis dalaman yang semakin membarah.
Bekas Naib Ketua Bahagian Bersatu Ampang, Mohd Mustaffa Hamzah secara terbuka menggesa kepimpinan PN menubuhkan Lembaga Disiplin di peringkat gabungan, iaitu satu langkah yang dilihat bukan sekadar cadangan pentadbiran, tetapi isyarat jelas rumah tangga politik PN sedang bergoncang.
Menurut beliau, ketiadaan mekanisme kawalan disiplin telah membuka ruang kepada perang saraf, budaya cantas-mencantas dan serangan terbuka antara parti komponen. Dalam bahasa mudah: PN dilihat gagal mengawal barisan sendiri.
Lebih mengejutkan, beliau menamakan tokoh seperti Azmin Ali dan Tun Faisal Ismail Aziz sebagai contoh budaya perseteruan yang menurutnya tidak sihat. Pendedahan itu menguatkan persepsi bahawa konflik dalam PN bukan lagi khabar angin, sebaliknya sudah menjadi realiti yang sukar disembunyikan.
Pemerhati politik melihat gesaan ini sebagai tamparan langsung terhadap kepimpinan tertinggi gabungan. Jika benar wujud budaya dengki dan tindakan pemecatan bermotif politik, persoalannya: siapa sebenarnya yang mengawal naratif dan hala tuju PN?
Lebih membimbangkan, krisis dalaman ini muncul ketika PN sedang bersiap menghadapi pilihan raya umum akan datang. Tanpa disiplin dan kesatuan, sebarang strategi besar hanya tinggal retorik.
Gesaan menubuhkan Lembaga Disiplin bukan sekadar soal prosedur – ia mencerminkan ketidakpercayaan dalaman terhadap kepimpinan sedia ada. Jika keadaan ini terus dibiarkan, tidak mustahil PN akan dilihat sebagai gabungan yang lebih sibuk bertelagah sesama sendiri daripada menawarkan penyelesaian kepada rakyat.
Persoalan kini: mampukah PN merawat retaknya sebelum ia benar-benar menanti belah? Atau gesaan ini hanyalah permulaan kepada episod perpecahan yang lebih besar?
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L