16 MP Lompat Parti? Dakwaan Disifatkan Gimik Politik, Risiko Kerusi Melayang

KEPALA BATAS – Dakwaan kononnya 16 Ahli Parlimen bakal melompat parti kini dilihat bukan sahaja meragukan, malah berpotensi menjadi permainan persepsi politik yang boleh memakan diri.

Mantan Ketua Bahagian Bersatu Kepala Batas, Khaliq Mehtab menyifatkan naratif tersebut sebagai tidak tepat dari sudut teknikal dan perundangan, malah boleh mencetuskan implikasi serius sekiranya benar-benar berlaku.

Menurut beliau, sesiapa yang beranggapan Ahli Parlimen boleh keluar parti dan menyertai “kapal baharu” sesuka hati jelas mengabaikan realiti undang-undang, khususnya Akta Anti Lompat Parti yang kini menjadi benteng terhadap percaturan politik songsang.

“Kalau benar 16 MP itu beralih arah, ia bukan soal tukar baju politik semata-mata. Ia boleh mencetuskan pelaksanaan Akta Anti Lompat Parti. Kerusi mereka bukan kebal, ia boleh dikosongkan mengikut peruntukan undang-undang,” tegasnya.

Kenyataan itu seakan memberi amaran mana-mana pihak yang cuba meniup spekulasi perpindahan besar-besaran mungkin sedang bermain dengan api. Dalam suasana politik yang rapuh, khabar angin seperti ini bukan sahaja menggugat kestabilan, malah boleh mengundang pilihan raya kecil yang tidak dirancang.

Khaliq turut mempersoalkan motif di sebalik penyebaran dakwaan tersebut dengan berkata, setakat ini tiada bukti kukuh dikemukakan.

“Tiada hard evidence. Ia lebih kepada spekulasi politik yang sengaja dipanaskan,” ujarnya sambil membayangkan kemungkinan wujud percaturan psikologi untuk menguji reaksi lawan.

Beliau menegaskan, membentuk blok atau parti baharu bukan sekadar soal angka dan rundingan belakang tabir, malah ia terikat dengan undang-undang dan risiko kehilangan mandat rakyat.

Dalam erti kata lain, jika benar ada 16 MP yang berani melangkah keluar, mereka bukan sahaja mempertaruhkan kedudukan politik, tetapi mungkin mempertaruhkan kerusi sendiri di Dewan Rakyat.

Persoalannya kini, adakah dakwaan ini benar-benar gerakan politik tersusun atau sekadar gendang propaganda untuk menggugat keyakinan pihak tertentu?

Dalam politik Malaysia pasca-Akta Anti Lompat Parti, langkah sumbang bukan lagi sekadar isu moral, sebaliknya boleh menjadi tiket kepada pengosongan kerusi.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *