Propel Global Umum Kerjasama Dengan CSCEC

Propel Global catat lonjakan hasil, tinjau potensi kontrak pusat data

KUALA LUMPUR – Penyedia perkhidmatan minyak dan gas (O&G), Propel Global Bhd (Propel Global) kini berada di landasan pemulihan operasi yang kukuh apabila berjaya mencatatkan lonjakan hasil suku ke suku, disokong oleh pelaksanaan projek yang lebih baik.

Bagi suku kedua berakhir 31 Disember 2025 (Suku Kedua TK2026), syarikat itu merekodkan pendapatan sebanyak RM20.5 juta. Jumlah berkenaan mewakili peningkatan sebanyak 14 peratus berbanding RM17.9 juta yang dicatatkan pada suku pertama TK2026.

Momentum penstabilan operasi kumpulan itu turut diterjemahkan melalui pengurangan kerugian sebelum cukai (LBT) yang semakin mengecil. LBT bagi suku dikaji berjumlah RM3.9 juta, satu penambahbaikan ketara berbanding RM6.1 juta pada suku sebelumnya.

Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Angeline Lee berkata, kumpulan itu kekal optimis, namun berhati-hati bahawa prestasi akan menjadi semakin kukuh pada separuh kedua tahun kewangan ini.

“Kami kekal berdisiplin dalam pemilihan projek dan memberi tumpuan kepada pengukuhan keupayaan pelaksanaan.

“Dengan peningkatan keterlihatan projek dan penstabilan keadaan operasi, kami optimis dengan berhati-hati bahawa prestasi akan semakin kukuh apabila pencapaian penting dicapai pada separuh kedua tahun kewangan,” katanya dalam satu kenyataan.

Selain pemulihan kewangan, Propel Global kini sedang mengintai peluang besar dalam sektor infrastruktur digital negara.

Menerusi anak syarikatnya, Propel CMT Sdn. Bhd., kumpulan itu sedang giat memajukan pakej kerja sivil dan struktur bagi sebuah pusat data di Johor Bahru yang bernilai RM70 juta.

Lebih menarik, terdapat potensi kerja pilihan yang boleh meningkatkan jumlah nilai kontrak projek itu sehingga RM325 juta, satu angka yang signifikan bagi buku pesanan kumpulan. Ini sejajar dengan pasaran pusat data Malaysia yang dijangka bernilai kira-kira USD6.55 bilion pada tahun 2026.

Dalam perkembangan berkaitan tenaga hijau, kumpulan itu turut memperluas penyertaannya menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Sabah Energy Corporation Sdn Bhd dan Reservoir Link Energy Bhd.

Kerjasama strategik itu bertujuan meneroka penyelesaian gas-ke-kuasa modular di Sabah, memfokuskan kepada sistem penjanaan kuasa berasaskan LNG yang cekap kos dan rendah pelepasan.

Walaupun berdepan persekitaran mencabar, segmen O&G kumpulan itu kekal berdaya tahan dan terus menyumbang kepada keuntungan syarikat.

Segmen O&G melaporkan pendapatan sebanyak RM13.5 juta dan Keuntungan Sebelum Cukai (PBT) sebanyak RM2.3 juta bagi suku dikaji.

Walaupun terdapat penurunan pendapatan berbanding tahun sebelumnya disebabkan tuntutan kemajuan projek Kejuruteraan, Perolehan, Pembinaan & Pentauliahan (EPCC) yang lebih rendah, segmen itu kekal menguntungkan hasil daripada pengurusan kos yang berdisiplin dan pesanan variasi.

Propel Global kini memberi tumpuan sepenuhnya untuk mengukuhkan struktur kos dan meningkatkan keterlihatan saluran paip projek bagi memposisikan diri untuk pemulihan beransur-ansur pada separuh kedua TK2026.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *