Amanat Yang Menguatkan Hati Warga Kampus USIM

Oleh:Dr. Farhana Sabri (USIM)

PADA 13 Februari 2026, di Dewan Tuanku Canselor, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menyaksikan satu detik yang lebih besar daripada rutin tahunan, iaitu Amanat Naib Canselor 2026 oleh Profesor Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani.

Ada amanat yang sekadar makluman, tetapi amanat kali ini lebih dari itu. Ia adalah amanat yang menghidupkan semangat bekerja untuk warga USIM dan kerana USIM.

Berbekalkan mantera USIM First, ia mengajak warga kampus untuk berhenti seketika dari kesibukan tugasan dan membuat refleksi “Apa dan siapa yang sedang universiti bangunkan?”

Persoalan ini dijawab dengan hala tuju yang sangat jelas. Enam Lonjakan USIM 2026 yang digariskan memperlihatkan keseimbangan yang matang antara kecemerlangan, kebajikan warga kampus, kelestarian dan daya saing global. 

Enam lonjakan itu ialah (1) Transformasi akademik: melonjak dan memperkasa akses, (2) Kecemerlangan penyelidikan dan inovasi, (3) Pembangunan bakat dan kepimpinan berihsan, (4) Kelestarian prasarana dan kampus pintar, (5) Kewangan mandiri, dan (6) Citra dan keterlihatan global. 

Pada satu sisi, dilihat dorongan untuk bergerak lebih laju dan lebih jauh, dan pada sisi yang lain, diingatkan supaya tidak meninggalkan nilai, manusia dan makna.

Lonjakan pembangunan bakat dan kepimpinan berihsan adalah indikator bahawa USIM memilih untuk memimpin dengan hati yang berfikir. Ihsan dalam kepimpinan bukan sekadar kata-kata indah, ia adalah prinsip pengurusan dan kepemimpinan yang memperkasakan manusia dan bukan sekadar pemaksaan angka.

Lebih bermakna apabila prinsip ini menunjukkan yang universiti melihat manusia di sebalik jawatan dan KPI. Ini termasuk staf yang memikul amanah operasi harian, pensyarah yang menyiapkan pengajaran dan penyeliaan, penyelidikan serta pasukan sokongan yang memastikan sistem berjalan.

Apabila kepimpinan berihsan benar-benar menjadi budaya, beberapa perubahan dapat berlaku: hormat-menghormati dan komunikasi lebih jelas, keputusan lebih adil dan manusiawi serta amanah kerja lebih dibaca sebagai tanggungjawab bersama.

Warga kampus tidak akan merasa berjuang sendirian, sebaliknya merasa dihargai dan dilindungi oleh sistem yang memperkasakan bakat dan kemahiran.

Dalam semangat memaknai kepimpinan berihsan, lonjakan ini disempurnakan lagi dengan agenda pemerkasaan wanita, yang mana fokus utama meningkatkan penyertaan wanita dalam peranan kepimpinan akademik dan pentadbiran USIM.

Pemerkasaan ini membawa maksud yang sangat praktikal iaitu memastikan bakat terbaik tidak tersisih hanya kerana kekangan struktur. Mandat ini jelas bahawa USIM percaya pada kemampuan wanita, menghargai sumbangan mereka, dan bersedia menyediakan ruang kepimpinan yang bermaruah untuk mereka memimpin dengan ilmu, nilai dan ihsan.

Dengan laluan kerjaya yang lebih jelas dan telus seperti dalam Amanat Naib Canselor USIM 2026, sudah pasti ia akan dapat mencipta penegasan budaya kerja yang cemerlang, di samping mewujudkan ekosistem kerja yang lebih inklusif.

Amanat ini mengingatkan bahawa kejayaan universiti adalah amanah dan tanggungjawab bersama warga kampus. Enam Lonjakan USIM 2026 memberi arah yang jelas ke hadapan dan roh sebenar lonjakan itu adalah budaya kerja yang berihsan.

Jika semangat ini diterjemahkan dalam tindakan harian, USIM bukan sahaja akan terus melangkah jauh di pentas nasional dan global, malah menjadi kampus di mana ilmu berkembang, nilai dipelihara, dan insan dimuliakan. Di sinilah USIM First akan terasa “hidup”. – ND

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *