Oleh: Abd. Ghaffar Daud

KUALA TERENGGANU – Warga Maahad Tahfiz Sains Tanah Merah (MTSTM), Kelantan menganjurkan program Team Building sempena awal tahun 2026 di sebuah resort dekat sini.
Program anjuran Ahli Jawatankuasa (AJK) Pengurusan Pentadbiran dengan kerjasama AJK Badan Kebajikan Guru dan Staf itu berlangsung selama dua hari dari 30 hingga 31 Januari lalu, bertujuan mengukuhkan semangat kerjasama serta perpaduan dalam kalangan warga institusi berkenaan.
Pengetua MTSTM, Azhar Mat Yusof berkata, program tersebut menjadi platform terbaik untuk menyemai nilai kesepakatan, saling menghormati dan semangat kerja berpasukan melalui pelbagai aktiviti yang dianjurkan.

“Alhamdulillah, semangat perpaduan dapat dilihat dengan jelas apabila setiap ahli pasukan saling membantu dan menunjukkan keserasian dalam menjayakan aktiviti yang dijalankan,” katanya ketika berucap pada majlis makan malam program itu.
Beliau turut merakamkan penghargaan dan ucapan tahniah kepada semua AJK serta warga MTSTM atas komitmen tinggi diberikan sehingga program dapat dilaksanakan dengan lancar dan jayanya.
“Insya-Allah, program seumpama ini akan diteruskan pada masa akan datang sebagai usaha merapatkan hubungan silaturahim dalam kalangan guru, kakitangan serta ahli keluarga masing-masing,” katanya.

Sementara itu, Penolong Pengarah (Khidmat Guru) Yayasan Islam Kelantan (YIK) yang juga Timbalan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) MTSTM, Azman Hussin berkata, pihak PIBG menyambut baik penganjuran program tersebut yang disifatkan mampu memperkukuh hubungan kekeluargaan dalam komuniti sekolah.
Menurutnya, program Team Building bukan sahaja mengeratkan ukhuwah, malah menyemai nilai murni serta sentuhan hati melalui kebersamaan dalam aktiviti yang dilaksanakan.
“Bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat. Program seperti ini memberi ruang untuk saling mengenali, bukan sahaja dalam kalangan guru dan kakitangan, malah melibatkan pasangan serta keluarga,” katanya ketika berucap merasmikan program tersebut.

Tambah beliau, kejayaan sesebuah sekolah atau institusi amat bergantung kepada sokongan padu dan kerjasama semua pihak dalam menjayakan setiap program yang dirancang.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L