Oleh NurFarhana Zulkeply
SEREMBAN – Pakatan Harapan (PH) mengumumkan Penolong Setiausaha DAP Negeri Sembilan, Lee Kai Yet sebagai calon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mambau pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Pengumuman itu dibuat oleh Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook, yang menyifatkan Kai Yet sebagai pemimpin berpengalaman serta mempunyai rekod perkhidmatan yang panjang dalam parti.
Setiausaha DAP Negeri Sembilan, Cha Kee Chin berkata, Kai Yet, 42, merupakan antara individu yang banyak membantunya sepanjang kempen Pilihan Raya Umum (PRU) pada 2013, 2018 dan 2022.
Menurut beliau, kini tiba masanya parti memberikan kepercayaan kepada Kai Yet untuk mewakili PH di DUN Mambau.
Cha berkata, Kai Yet menyertai DAP pada 2008 dan telah memegang pelbagai jawatan di peringkat cawangan, Jawatankuasa Perhubungan Parlimen serta negeri sepanjang penglibatannya dalam parti.
Beliau turut menyifatkan Kai Yet sebagai anak tempatan yang memahami keperluan masyarakat di DUN Mambau serta calon paling sesuai untuk meneruskan perjuangan PH di kawasan berkenaan.
“Saya berharap pengundi DUN Mambau memberi mandat kepada Lee Kai Yet pada hari pengundian nanti,” katanya.
Selain memegang jawatan Penolong Setiausaha DAP Negeri Sembilan, Kai Yet juga merupakan Ketua Biro Bantuan Guaman DAP negeri.
Kerusi DUN Mambau sebelum ini disandang Yap Yew Weng yang memenanginya pada Pilihan Raya Umum 2013, 2018 dan 2022.
Pada pilihan raya lalu, Yap memperoleh 17,039 undi untuk menewaskan calon Perikatan Nasional (PN), N. Satesh Kumar yang meraih 2,099 undi serta calon Bebas, R. Kumaravel yang memperoleh 163 undi, sekali gus mencatat majoriti 14,940 undi.
NurFarhana Zulkeply adalah pelajar Sarjana Muda Komunikasi Dengan Kepujian dari USIM yang sedang menjalani Latihan Industri di NasionalDaily.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L