KUALA LUMPUR – Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Malaysia menggesa Kementerian Pendidikan (KPM) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) melaksanakan reformasi terhadap struktur pentadbiran dan tadbir urus Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) susulan insiden seorang murid Tahun Lima yang terjatuh dari tingkat tiga sebuah bangunan sekolah di Padang Terap, Kedah, semalam.
Pengerusi Tetap GPMS Malaysia, Nik Saiful Adli Burhan berkata, pihaknya menzahirkan rasa dukacita dan amat prihatin terhadap kejadian itu yang disifatkan sebagai peringatan penting mengenai keperluan memperkukuh aspek keselamatan dalam pelaksanaan pendidikan KAFA di seluruh negara.
Menurut beliau, GPMS sentiasa mengiktiraf peranan penting sistem pendidikan KAFA serta pengorbanan guru-gurunya dalam membentuk sahsiah, akhlak dan kefahaman agama dalam kalangan generasi muda.
“KAFA merupakan komponen penting dalam pembangunan modal insan negara. Oleh itu, memastikan standard keselamatan yang tinggi dalam pelaksanaannya adalah satu tanggungjawab yang tidak boleh dipandang ringan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Mengulas lanjut, Nik Saiful Adli berkata, insiden berkenaan turut mendedahkan kelemahan struktur pentadbiran sedia ada apabila wujud pertindihan dan kekaburan bidang kuasa antara KPM dan JAKIM dalam pengurusan KAFA.
Beliau mendakwa, keadaan itu menyebabkan pihak pentadbiran sekolah tidak mempunyai kuasa intervensi secara langsung terhadap pelaksanaan kelas KAFA walaupun sesi tersebut dijalankan di dalam kawasan sekolah.
“Keadaan ini mewujudkan lompang dalam aspek penyeliaan dan kawalan keselamatan murid, khususnya apabila koordinasi antara pentadbir sekolah dengan guru-guru KAFA tidak dilaksanakan secara menyeluruh dan berkesan,” katanya.
Menurut beliau, GPMS juga berpandangan guru-guru KAFA perlu diberikan sokongan lebih menyeluruh memandangkan sebahagian besar daripada mereka tidak melalui latihan profesionalisme perguruan yang setara dengan guru di bawah KPM.
Katanya, persepsi KAFA hanyalah pendidikan sampingan turut menyebabkan aspek disiplin dan keselamatan kurang diberi perhatian, sekali gus mewujudkan jurang pentadbiran antara pihak sekolah dan pengurusan Kelas Al-Quran dan Fardu Ain itu.
“Di sesetengah sekolah, pihak pentadbiran hanya dilihat sebagai penyedia lokasi dan murid, sedangkan mereka tidak mempunyai autoriti untuk campur tangan dalam aspek disiplin dan keselamatan sepanjang sesi KAFA berlangsung,” katanya.
Sehubungan itu, GPMS menggesa KPM dan JAKIM segera mengadakan rundingan bagi mewujudkan satu garis panduan serta kerangka kerja yang lebih jelas berkaitan pembahagian bidang kuasa antara kedua-dua agensi.
Menurut Nik Saiful Adli, pihak pentadbiran sekolah perlu diberikan mandat yang jelas untuk memantau, menyelia dan mengambil tindakan berkaitan disiplin serta keselamatan murid sepanjang sesi KAFA tanpa menjejaskan kurikulum ditetapkan oleh JAKIM.
Selain itu, beliau turut mencadangkan supaya jadual pengoperasian KAFA disusun semula dengan lebih sistematik bagi mengurangkan risiko yang timbul ketika waktu peralihan antara sesi persekolahan dan kelas KAFA.
“Tempoh transisi murid serta waktu-waktu kritikal perlu diberi perhatian kerana ketika inilah kawalan disiplin sering menjadi longgar,” katanya.
Dalam masa sama, GPMS turut meminta KPM dan JAKIM menilai semula pelaksanaan kemasukan murid Tahun Satu ke kelas KAFA yang bermula tahun ini.
Beliau berkata, faktor perkembangan psikologi kanak-kanak berusia enam hingga tujuh tahun yang belum mampu menilai risiko keselamatan secara matang perlu diambil kira, terutama dalam keadaan bilangan guru KAFA yang terhad.
GPMS turut mencadangkan supaya satu modul pengawasan dan penugasan khusus diwajibkan kepada guru-guru KAFA, terutama ketika waktu rehat dan amali solat yang dikenal pasti sebagai tempoh berisiko tinggi berlakunya kecuaian dalam pemantauan murid.
Nik Saiful Adli berkata, berdasarkan analisis terhadap kejadian yang berlaku, tempoh tersebut sering menjadi ruang terdedah kepada kelemahan kawalan keselamatan sekiranya tiada garis panduan pengawasan jelas.
Beliau menegaskan, tanggungjawab menjaga kebajikan, disiplin dan keselamatan murid serta guru KAFA tidak boleh lagi dipikul oleh satu pihak sahaja.
Sebaliknya, katanya, KPM dan JAKIM perlu memikul tanggungjawab itu secara bersama melalui satu memorandum persefahaman (MoU) yang jelas bagi memastikan aspek keselamatan murid sentiasa menjadi keutamaan.
“GPMS berharap tiada lagi murid menjadi mangsa akibat kelemahan birokrasi atau kelompangan tadbir urus. Reformasi ini perlu dilaksanakan segera demi memastikan institusi pendidikan Islam terus diyakini dan keselamatan setiap murid sentiasa terpelihara,” katanya.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L