Dua tan durian warnai Sambutan Hari Keluarga UPSI

Oleh Bazli Razak

TANJONG MALIM Penyediaan kira-kira dua tan durian menjadi tarikan utama Sambutan Hari Keluarga sempena Perhimpunan Bulanan Edisi Julai 2026 Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), sekali gus menyemarakkan semangat kebersamaan dalam kalangan warga universiti dan ahli keluarga yang hadir.

Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti UPSI, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan berkata sambutan berkenaan mencerminkan komitmen universiti dalam memperkukuh budaya kekeluargaan sebagai asas kepada kecemerlangan institusi.

Beliau berkata tema “JIWA UPSI: Keluarga Teguh, Institusi Unggul” amat bertepatan dengan aspirasi universiti kerana kejayaan sesebuah institusi bukan sahaja diukur melalui pencapaian akademik, malah bergantung kepada kekuatan hubungan sesama warga serta penghayatan nilai Jujur, Integriti, Wibawa dan Amanah (JIWA UPSI).

“Sambutan Hari Keluarga ini menjadi platform untuk mengeratkan silaturahim, memupuk semangat kekitaan dan menghargai peranan ahli keluarga yang sentiasa menjadi sumber kekuatan kepada setiap warga UPSI.

“Saya berharap semangat kebersamaan ini akan terus diperkukuhkan demi melahirkan organisasi yang lebih cemerlang, harmoni dan berdaya saing,” katanya ketika merasmikan sambutan itu di Dataran Cemerlang Bersama, Kampus Sultan Azlan Shah, hari ini.

Pada majlis sama, Abdul Puhat turut melancarkan Corporate Heritage Video bertajuk Lensa Evolusi: Ibu Kandung Suluh Budiman yang mendokumentasikan perjalanan sejarah UPSI bermula daripada era Sultan Idris Training College (SITC) sehingga berkembang menjadi UPSI.

Sementara itu, Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr. Md. Amin Md. Taff berkata penyediaan dua tan durian merupakan tanda penghargaan universiti kepada seluruh warga UPSI, selain menyokong pemilik kebun durian yang terjejas akibat lambakan hasil pada musim ini.

“Dengan sedikit tanda penghargaan daripada UPSI sendiri, dua tan durian yang kita beli. Usaha ini bukan sahaja untuk meraikan warga universiti, malah sebagai sokongan kepada pemilik kebun durian yang terjejas akibat lambakan hasil. Mudah-mudahan usaha kecil ini dapat membantu mereka di samping terus mengeratkan hubungan kekeluargaan dalam kalangan warga UPSI.

Beliau berkata semangat kekeluargaan sentiasa menjadi identiti UPSI sehingga menjadikan universiti itu bukan sekadar tempat bekerja, sebaliknya sebuah institusi yang menyatukan seluruh warganya sebagai sebuah keluarga.

“Di UPSI kita bukan sahaja bekerja, tetapi kita berkeluarga. Kita memiliki Jiwa Ketakwaan, Jiwa Kekeluargaan, Jiwa Keinsanan, Jiwa Kecemerlangan dan juga Jiwa Pendidik. Mudah-mudahan program seperti ini terus menyuburkan nilai-nilai tersebut dalam kalangan warga universiti,” katanya.

Antara buah-buahan yang dibawa dan dikongsi ialah manggis, cempedak, pisang dan rambutan, sekali gus menyemarakkan budaya saling berkongsi serta semangat kekeluargaan yang menjadi identiti warga UPSI.

Pada majlis yang sama turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti yang dianjurkan termasuk senamtari, Pertandingan Koyak Durian, Pertandingan Makan Buah-Buahan Terpantas, Pertandingan Teka Berat Buah, Pertandingan e-Sports dan Pertandingan Memasak Cekodok Pisang.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *