Jalan Utama Seremban Ditutup Sementara untuk Simulasi Pasca PRN Negeri Sembilan

Oleh Siti Khadijah Manudin

SEREMBAN – Beberapa jalan utama di pusat bandar Seremban akan ditutup sementara dan aliran trafik dilencongkan secara berperingkat bagi membolehkan latihan simulasi pasca Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan berlangsung di Dewan Majlis Bandaraya Seremban (MBS).

Ketua Polis Daerah Seremban, ACP Mohd Yatim Osman berkata, penutupan jalan akan diadakan pada Khamis dari jam 3 petang hingga 5 petang bagi sesi raptai, manakala simulasi sebenar dijadual berlangsung pada Jumaat dari jam 3 petang hingga 5.30 petang.

Antara laluan yang terlibat ialah Jalan Yam Tuan, Jalan Dato’ Sheikh Ahmad, Lorong Khalsa dan Jalan Lim Kee Siong. Beberapa persimpangan utama turut ditutup atau dilencongkan termasuk Jalan Tuanku Hassan/Jalan Yam Tuan, Jalan Lee Fong Yee/Jalan Yam Tuan, Jalan Lim Kee Siong/Jalan Jawa serta Lorong Khalsa/Lorong Jawa.

Orang ramai dinasihatkan menggunakan laluan alternatif seperti Jalan Dato’ Abdul Malik, Jalan Tuanku Hassan, Jalan Tuanku Munawir dan Jalan Dato’ Abdul Kadir bagi mengelakkan kesesakan.

Polis turut menggesa pengguna jalan raya supaya mematuhi arahan anggota trafik yang bertugas serta merancang perjalanan lebih awal sepanjang tempoh latihan dijalankan. Sebarang pertanyaan boleh diajukan kepada Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban di talian 06-6033477 atau 06-6014999.

Suruhanjaya Pilihan Raya sebelum ini menetapkan hari pengundian PRN Negeri Sembilan pada 1 Ogos, manakala hari penamaan calon ialah 18 Julai.

Siti Khadijah Manudin adalah pelajar Sarjana Muda Komunikasi Dengan Kepujian dari USIM yang sedang menjalani Latihan Industri di NasionalDaily

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *