Oleh: Editorial ND
KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan memberi amaran, gelombang penolakan terhadap kerajaan sedia ada yang sedang melanda dunia kini turut memberi kesan kepada landskap politik negara, termasuk parti itu, susulan keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah baru-baru ini.
Berucap merasmikan Mesyuarat Serentak Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur semalam, beliau berkata, kebimbangan yang disuarakan oleh ketiga sayap parti mencerminkan keresahan rakyat terhadap tekanan hidup, ketidakadilan politik dan ketidaktentuan masa depan.
“Saya mendengar kebimbangan Wanita mengenai ruangan hidup yang kian sempit, bantahan Pemuda terhadap ketidakadilan politik dan keresahan Puteri mengenai masa hadapan yang kabur. Di sebalik semua itu, saya masih melihat harapan,” katanya.
Mohamad berkata, fenomena yang digelar sebagai Anti-Incumbency Wave atau gelombang penolakan terhadap kerajaan sedia ada kini berlaku secara meluas di peringkat global, didorong oleh kemarahan rakyat terhadap kos sara hidup, inflasi dan ketidakstabilan ekonomi.
Menurut beliau, kejatuhan parti-parti besar di beberapa negara seperti United Kingdom, Amerika Syarikat, Jepun dan Korea Selatan menjadi bukti, rakyat tidak lagi terikat dengan sejarah atau jasa lama sesebuah parti politik.
“Rakyat hari ini tidak lagi peduli siapa yang memerdekakan negara atau siapa yang membangunkan negara. Jika perut mereka lapar, mereka akan menghukum pemerintah,” tegasnya.
Mengulas keputusan PRN Sabah, Mohamad menyifatkan ia sebagai satu isyarat besar dan hukuman jelas daripada rakyat terhadap parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan dari Semenanjung.
“DAP ditolak sepenuhnya, PKR berada dalam keadaan lemah. UMNO menang, tetapi hanya enam kerusi. Itu bukan sesuatu yang boleh kita banggakan,” katanya.
Beliau mengakui UMNO suatu ketika dahulu merupakan parti yang sangat dominan di Sabah, namun realiti politik hari ini menunjukkan rakyat negeri itu memilih perikatan tempatan yang lebih dekat dengan sentimen dan keperluan mereka.
“UMNO dilihat gagal memperjuangkan agenda Sabah untuk orang Sabah. Kita terlalu terbawa-bawa dengan isu nasional dan gagal membaca perubahan persekitaran politik yang pantas,” katanya.
Sehubungan itu, Mohamad menegaskan, UMNO perlu bermuhasabah secara jujur, menerima hakikat kelemahan parti serta melakukan pembaharuan menyeluruh bagi memulihkan keyakinan rakyat, khususnya di Sabah.
“Parti belum pulih sepenuhnya. Banyak yang perlu diperbaiki dan dikemas. Semua ini mesti dilakukan dengan hati terbuka dan berlapang dada,” katanya.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L