PUTRAJAYA – Usaha membendung masalah pembuangan sampah kecil di tempat awam diperkasakan apabila Perintah Khidmat Masyarakat di bawah Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) mula dilaksanakan berkuat kuasa hari ini.
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memaklumkan, pelaksanaan awal hukuman itu melibatkan beberapa negeri iaitu Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perlis dan Kedah, selain Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur serta Putrajaya.
Bagi negeri yang belum mengguna pakai Akta 672 seperti Pulau Pinang, Selangor, Kelantan dan Terengganu, penguatkuasaan Perintah Khidmat Masyarakat akan dilaksanakan selepas mendapat kelulusan kerajaan negeri masing-masing dalam tempoh terdekat.
Menurut KPKT, peruntukan hukuman tersebut diperkenalkan melalui pindaan Akta 672 yang diluluskan Parlimen pada Ogos 2025 dan akan dilaksanakan bersama Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) serta Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171).
Selain menjalani Perintah Khidmat Masyarakat, pesalah yang disabitkan kesalahan membuang sampah kecil turut berdepan denda antara RM2,000 hingga RM10,000 dan hukuman itu sebagai tambahan kepada denda sedia ada serta hanya boleh dikenakan selepas sabitan oleh mahkamah.
Pesalah yang diperintahkan menjalani hukuman tersebut dikehendaki melaksanakan kerja khidmat masyarakat sehingga 12 jam dalam tempoh enam bulan. Aktiviti yang terlibat termasuk mengutip sisa pepejal, mencuci kawasan awam, memotong rumput serta membersihkan persekitaran.
KPKT menjelaskan, tempoh 12 jam itu tidak perlu diselesaikan dalam satu sesi berterusan, sebaliknya penjadualan akan ditentukan oleh pegawai yang diberi kuasa selaras dengan perintah mahkamah.
Dalam masa sama, kementerian memberi peringatan, kegagalan mematuhi, keengganan atau cubaan melarikan diri daripada Perintah Khidmat Masyarakat adalah kesalahan baharu yang boleh membawa denda antara RM2,000 hingga RM10,000 jika disabitkan.
Pelaksanaan hukuman ini bertujuan mendidik masyarakat agar lebih bertanggungjawab terhadap kebersihan alam sekitar, selain memupuk kesedaran dan sikap menghormati ruang awam, bukan semata-mata untuk mengenakan hukuman.
Orang ramai yang hendak melaporkan kesalahan berkaitan kebersihan boleh menyalurkan aduan kepada SWCorp menerusi aplikasi WhatsApp di talian 013-210 7472 atau melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) di laman web swcorp.spab.gov.my.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L