DHAKA – Suasana ibu negara Bangladesh bertukar hiba semalam, apabila jutaan rakyat berhimpun bagi menyaksikan upacara pengebumian negara tokoh politik tersohor, Begum Khaleda Zia, yang juga Perdana Menteri wanita pertama negara itu.
Allahyarham Khaleda Zia, Presiden Parti Nasionalis Bangladesh (BNP), menghembuskan nafas terakhir Selasa pagi pada usia 80 tahun, selepas lama bergelut dengan masalah kesihatan.
Negara itu memberikan penghormatan tertinggi apabila beliau disemadikan di sisi pusara suaminya, bekas Presiden Ziaur Rahman.
Solat jenazah diadakan di hadapan Jatiya Sangsad Bhaban dan dihadiri pemimpin tertinggi negara termasuk Ketua Penasihat Kerajaan Interim, Muhammad Yunus, Ketua Hakim Negara Zubayer Rahman Chowdhury, pimpinan angkatan tentera serta tokoh utama parti politik.
Turut kelihatan, anak beliau, Tarique Rahman, yang kini menerajui BNP.
Upacara itu turut menarik kehadiran delegasi asing dari rantau Asia Selatan, antaranya Speaker Parlimen Pakistan, Sardar Ayaz Sadiq; Menteri Hal Ehwal Luar India, Subrahmanyam Jaishankar; serta Menteri Luar dari Nepal, Sri Lanka dan Bhutan.
Beberapa pemimpin asing itu turut menyampaikan ucapan takziah secara peribadi kepada keluarga Allahyarham.
Jalan utama ke Manik Mia Avenue dipenuhi orang ramai sejak awal pagi, dengan kawalan keselamatan yang ketat, manakala tangisan dan doa mengiringi perjalanan jenazah yang dibawa dari kediaman anaknya ke lokasi pengebumian mengikut istiadat negara.
Khaleda Zia dilahirkan pada tahun 1945 dan mula menonjol dalam politik selepas pembunuhan suaminya pada 1981.
Beliau kemudian muncul sebagai tokoh utama gerakan menuntut demokrasi, khususnya pada era pemerintahan Presiden Hussain Muhammad Ershad, sebelum dilantik sebagai perdana menteri buat pertama kali pada 1991.
Sepanjang hayatnya, Khaleda memegang jawatan perdana menteri sebanyak tiga penggal dan dikenang sebagai pemimpin berprinsip tegas.
Beliau meninggalkan seorang anak lelaki, Tarique Rahman, manakala seorang lagi anaknya, Arafat Rahman, meninggal dunia pada 2015.
Di mata rakyat Bangladesh, pemergian Khaleda Zia menandakan berakhirnya satu era politik, dengan legasi beliau terus dikenang sebagai lambang keberanian dan perjuangan demokrasi negara itu.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L
