Rapid KL Lanjut Operasi Rel dan Bas Terpilih Sempena Ambang Tahun Baharu 2026

KUALA LUMPUR – Rapid KL akan melanjutkan waktu operasi perkhidmatan rel dan bas terpilih sempena sambutan ambang Tahun Baharu 2026 bagi memastikan pergerakan penumpang berjalan dengan lebih selamat, teratur dan lancar.

Dalam kenyataan hari ini, Rapid KL memaklumkan perkhidmatan rel akan beroperasi sehingga jam 2 pagi, manakala BRT Laluan Sunway, beberapa laluan bas terpilih serta perkhidmatan Rapid KL On-Demand (ROD) akan beroperasi sehingga jam 2.30 pagi pada 1 Januari 2026.

Lanjutan operasi ini melibatkan 20 stesen rel, tujuh stesen BRT, 21 laluan bas utama dan perantara, serta sembilan zon ROD, khusus bagi menampung keperluan pengguna selepas tamat acara sambutan ambang tahun baharu.

Antara stesen rel dan BRT yang terlibat termasuk stesen tumpuan utama seperti Pasar Seni, Masjid Jamek, KLCC, Bukit Bintang, Hang Tuah, Tun Razak Exchange, Ampang Park, Maluri, Cochrane, serta semua stesen BRT Sunway dari Sunway-Setia Jaya hingga USJ7. Stesen lain akan menamatkan operasi seperti biasa, namun masih membenarkan penumpang keluar stesen.

Bagi meningkatkan keselesaan pengguna, kekerapan tren akan dipertingkatkan di semua laluan rel bermula jam 7.30 malam, 31 Disember 2025 sehingga 2 pagi 1 Januari 2026.

Selain itu, beberapa laluan bas utama, bas perantara dan perkhidmatan ROD turut beroperasi sehingga jam 2.30 pagi, meliputi laluan strategik ke kawasan tumpuan bandar dan kediaman. Pengguna ROD dinasihatkan untuk membuat tempahan awal melalui aplikasi Rapid On-Demand.

Bagi memastikan kelancaran operasi dan keselamatan penumpang, lebih 3,000 petugas barisan hadapan Rapid KL, termasuk Polis Bantuan dan kakitangan operasi, akan bertugas sepanjang malam ambang tahun baharu.

Rapid KL turut menggalakkan pengguna menggunakan kad Touch ‘n Go dan memastikan baki mencukupi sebelum perjalanan.

Sebagai alternatif, Pas Rapid Kota 1-Hari ditawarkan bagi perjalanan tanpa had sepanjang hari. Pembayaran tanpa tunai juga diterima sepenuhnya di semua mesin tiket automatik di stesen rel Rapid KL.

Orang ramai disaran menggunakan pengangkutan awam sepanjang sambutan ambang Tahun Baharu bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas, khususnya di kawasan tumpuan acara.

Untuk maklumat terkini dan perancangan perjalanan, pengguna boleh mengikuti saluran media sosial rasmi Rapid KL serta memuat turun aplikasi MyRapid PULSE.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *