KUALA LUMPUR – UMNO perlu segera menjelaskan pendiriannya berhubung kemelut institusi diraja Negeri Sembilan susulan titah kemurkaan Yang di-Pertuan Besar, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, terhadap Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim, khususnya berkaitan surat yang didakwa dihantar kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja.
Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof Rawa berkata, isu itu tidak boleh dipandang ringan atau dibiarkan tanpa penjelasan kerana ia menyentuh hubungan antara institusi diraja dengan pentadbiran kerajaan negeri.
Menurut beliau, titah Tuanku Muhriz yang mempersoalkan surat berkenaan menimbulkan persoalan serius mengenai pendirian Menteri Besar dan kerajaan negeri terhadap kedudukan Yang di-Pertuan Besar.
Sehubungan itu, Mujahid menggesa kandungan penuh surat berkenaan didedahkan supaya rakyat dapat menilai perkara sebenar, selain menuntut UMNO menjelaskan sama ada parti itu mengetahui atau merestui tindakan yang didakwa dilakukan oleh Menteri Besarnya.
“Apakah UMNO merestui tindakan Menteri Besarnya?” katanya dalam kenyataan media pada Sabtu.
Mujahid turut membangkitkan pendirian Jabatan Peguam Negara yang menurutnya, Menteri Besar dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) tidak mempunyai kuasa untuk menurunkan atau mengisytiharkan kekosongan jawatan Yang di-Pertuan Besar.
Beliau juga mendakwa Setiausaha Kerajaan Negeri enggan mewartakan proklamasi berkenaan kerana menganggapnya tidak sah dan tidak berperlembagaan.
Katanya, keadaan itu menimbulkan persoalan mengapa masih terdapat tindakan atau surat yang boleh ditafsirkan sebagai mempertikaikan kedudukan Tuanku Muhriz, sedangkan penjelasan undang-undang mengenai perkara tersebut telah dikemukakan.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Dalam pada itu, Mujahid mempersoalkan sikap pimpinan UMNO yang didakwanya berdiam diri apabila Menteri Besar daripada parti itu dikaitkan dengan isu menyentuh kedudukan seorang Raja Melayu.
Beliau membandingkan keadaan itu dengan pendirian UMNO yang selama ini sering menampilkan dirinya sebagai pembela Melayu, Islam dan institusi Raja-Raja Melayu, selain lantang mengkritik pihak lain dalam isu berkaitan kedaulatan institusi beraja.
“Apakah kesetiaan kepada Raja hanya slogan untuk menyerang lawan politik, tetapi tidak terpakai apabila tindakan itu dilakukan oleh pemimpin UMNO sendiri?” soalnya.
Mujahid turut menuntut UMNO menjelaskan tiga perkara utama, iaitu sama ada kepimpinan parti mengetahui atau merestui surat yang didakwa dihantar kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, sama ada parti itu menyokong pendirian Exco yang pernah mengiktiraf proklamasi berkenaan serta sebab Ismail didakwa berubah daripada menzahirkan sokongan kepada Tuanku Muhriz kepada mengesahkan keputusan Exco yang mempertikaikan kedudukan baginda.
Beliau seterusnya menggesa Ismail mendedahkan kandungan surat berkenaan dan menarik balik sekiranya benar seperti dititahkan Tuanku Muhriz.
Menteri Besar itu juga katanya, perlu memohon ampun kepada baginda serta memohon maaf kepada rakyat Negeri Sembilan dan seluruh rakyat Malaysia.
Selain menuntut penjelasan daripada Ismail, Mujahid mahu UMNO mengambil tindakan disiplin yang tegas sekiranya dakwaan berkenaan terbukti mempunyai asas.
Menurutnya, sekiranya Ismail gagal memberikan penjelasan yang meyakinkan dan memulihkan hubungan dengan Istana, beliau wajar mempertimbangkan peletakan jawatan sebagai Menteri Besar.
Mujahid menegaskan, jawatan Menteri Besar bukan hak milik mana-mana parti politik, sebaliknya merupakan amanah perlembagaan yang perlu dilaksanakan dengan perkenan Yang di-Pertuan Besar serta dipertanggungjawabkan kepada rakyat dan Dewan Undangan Negeri.
“Ini bukan soal mempolitikkan institusi beraja. Ini soal mempertahankan keluhuran perlembagaan, kedaulatan undang-undang dan martabat institusi raja,” katanya.
Beliau menegaskan, UMNO kini perlu menjelaskan pendiriannya dalam kemelut berkenaan, sama ada mahu mempertahankan institusi raja atau terus mempertahankan pemimpinnya sendiri.
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
