PUTRAJAYA – Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini memutuskan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, bersalah atas empat pertuduhan menyalahgunakan kedudukan bagi memperoleh rasuah dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berjumlah RM2.3 bilion antara tahun 2011 hingga 2014.
Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah, yang kini merupakan Hakim Mahkamah Persekutuan, membuat keputusan tersebut selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes.
Keputusan dibacakan di Istana Kehakiman bermula jam 9.13 pagi dan disambung semula selepas solat Jumaat pada jam 3.02 petang.
Menurut hakim, keempat-empat pertuduhan yang dikemukakan adalah jelas, tidak kabur serta tidak bertindih antara satu sama lain. Mahkamah turut menolak hujahan pembelaan yang mendakwa pertuduhan berkenaan bersifat mengelirukan dan menjejaskan keupayaan tertuduh menyediakan pembelaan.
“Mahkamah mendapati tiada prejudis terhadap tertuduh dan tiada kecacatan dalam pertuduhan.
“Setelah meneliti afidavit serta hujahan bertulis dan lisan kedua-dua pihak, pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melangkaui keraguan munasabah,” kata beliau sebelum mensabitkan Najib atas kesemua empat pertuduhan tersebut.
Prosiding kemudiannya diteruskan pada jam 4.11 petang dengan mahkamah membacakan keputusan bagi 21 lagi pertuduhan berkaitan pengubahan wang haram yang dihadapi Najib.
Pendakwaan diketuai beberapa Timbalan Pendakwa Raya, antaranya Datuk Ahmad Akram Gharib dan Datuk Kamal Baharin Omar, manakala pasukan pembelaan Najib diketuai Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah bersama beberapa peguam lain.
Najib berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukan untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion serta 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah yang sama.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di AmIslamic Bank Berhad, Bukit Ceylon, Kuala Lumpur, dalam tempoh 2011 hingga 2014.
Pertuduhan rasuah dibuat mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda sehingga lima kali ganda nilai suapan jika sabit kesalahan.
Sementara itu, pertuduhan pengubahan wang haram dikemukakan di bawah Seksyen 4(1)(a) Akta AMLATFA, yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM5 juta, penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L
