Ramalan awal banjir: Beberapa jajahan di Kelantan dijangka terkesan mulai hari ini

KOTA BHARU – Beberapa jajahan di Kelantan diramalkan mengalami banjir bermula hari ini hingga 30 Disember ini susulan amaran hujan berterusan (bahaya) yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi (MetMalaysia).

Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dalam kenyataan memaklumkan, antara jajahan dijangka terkesan ialah Tumpat, Pasir Mas, Bachok, Machang, Kota Bharu, Pasir Puteh, Tanah Merah, Kuala Krai dan Gua Musang melibatkan lembangan sungai utama termasuk Sungai Kelantan, Sungai Golok dan Sungai Semerak.

“Ramalan banjir itu adalah tertakluk kepada keadaan hujan semasa dan kejadian banjir boleh berlaku lebih awal atau lewat dari tempoh dijangkakan,” menurut PRABN.

Sehubungan itu, semua agensi pengurusan bencana serta penduduk khususnya di kawasan dikenal pasti diminta berwaspada, peka terhadap perkembangan semasa dan mematuhi arahan pihak berkuasa bagi mengurangkan risiko keselamatan.

JPS turut memaklumkan, pemantauan berterusan akan dilakukan dan hebahan amaran banjir dikemas kini dari semasa ke semasa sekiranya hujan signifikan terus berlaku di lembangan sungai terlibat.

PRABN memaklumkan, maklumat terkini dan amaran banjir boleh diperoleh menerusi laman sesawang rasmi Public Info Banjir di publicinfobanjir.water.gov.my serta platform media sosial berkaitan.

Hari ini, Bernama melaporkan MetMalaysia mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap bahaya di Kelantan dan Terengganu hingga 29 Dis (Isnin).

MetMalaysia memaklumkan kawasan terlibat ialah Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Bachok, Machang serta Pasir Puteh.

Amaran hujan berterusan tahap buruk pula dijangka berlaku di Jeli, Tanah Merah dan Kuala Krai. – BERNAMA

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *